fbpx
Now Reading
Pemandu Treler Seret Ibu Baru Pulang Dari Hantar Anak Sekolah Ditahan, Disahkan Positif Dadah
pemandu treler geser dan gilis ibu hantar anak balik sekolah ditahan, positif dadah

Pemandu Treler Seret Ibu Baru Pulang Dari Hantar Anak Sekolah Ditahan, Disahkan Positif Dadah

Mangsa yang sedang dalam perjalanan untuk mengambil seorang lagi anaknya dilaporkan maut ditempat kejadian.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Sejak tengah hari tadi (12 Ogos) tular di media sosial satu insiden kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan treler di Jambatan Sungai Batang Padang, Tapah.

Lebih memilukan apabila mangsa yang meninggal dunia, Shahiza Ishak, 39, baru sahaja pulang dari menghantar anaknya ke sekolah berhampiran.

Mangsa cedera parah dibahagian kepala

Dalam insiden yang berlaku sekitar jam 7.15 pagi, mangsa dilaporkan parah di bahagian kepala selepas diseret treler sejauh 10 meter di Kilometer 57, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur.

Menerusi laporan Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Wan Azharuddin Wan Ismail memaklumkan, insiden berlaku apabila treler terbabit bergesel dengan motosikal yang ditunggang mangsa.

Dalam perjalanan ambil seorang lagi anak untuk hantar ke sekolah

Impak menyebabkan mangsa yang menunggang motosikal jenama Honda Wave dan sedang dalam perjalanan untuk mengambil seorang lagi anaknya di rumah untuk dihantar ke sekolah terjatuh di atas jalan raya.

“Pelanggaran itu menyebabkan mangsa diseret treler berkenaan hingga menyebabkan kecederaan parah di kepala. Mangsa disahkan maut di tempat kejadian.

“Ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan dari sekolah balik ke rumah untuk mengambil seorang lagi anaknya untuk dihantar ke sekolah,” jelasnya

Wan Azharuddin memaklumkan, tiada sebarang kecederaan yang dialami oleh pemandu treler yang berumur 36 tahun itu dan lelaki tersebut telah ditahan bagi siasatan lanjut.

Pemandu treler positif dadah

Menurutnya lagi, hasil ujian air kencing telah mendapati pemandu berkenaan positif dadah jenis methamphetamine.

“Kenderaan terlibat kemalangan telah ditahan untuk pemeriksaan Puspakom. Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelasnya lagi.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.