
Wanita Baru Putus Cinta Ugut & Rempuh Pagar Rumah Keluarga Bekas Kekasih
Suspek bukan sahaja memberikan ugutan kepada mangsa malah turut bertindak merempuh pagar kediaman keluarga sehingga menyebabkan kerugian berjumlah RM15,000.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Seorang wanita yang baru putus cinta di Johor dilaporkan nekad mengugut dan merempuh pagar kediaman keluarga bekas kekasihnya di Taman Perling, Johor Bharu pada Ahad, 14 Ogos sekitar jam 5 pagi.
Tindakan itu bagaimanapun memakan diri, apabila wanita tempatan berusia 20 tahun itu ditahan di sebuah kawasan di Plaza Tol Lima Kedai, Gelang Patah, tidak sampai masa 24 jam sebaik polis menerima laporan daripada keluarga bekas kekasihnya.
Baru putus cinta pada Julai 2022, suspek ugut guna aplikasi Wechat
Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bharu Utara, Superintendan Fariz Ammar Abdullah berkata, sebelum kejadian suspek difahamkan telah menghantar satu mesej berbentuk ugutan di Wechat kepada salah seorang ahli keluarga pengadu yang menyatakan mahu membakar kedai dan merosakkan harta milik keluarga pengadu.
Siasatan pihak polis turut mendapati suspek merupakan bekas kekasih kepada adik lelaki pengadu di mana hubungan pasangan tersebut baru sahaja berakhir pada Julai 2022.
Hantar video orang sedang curahkan minyak nak bakar kedai

“Suspek turut mengirimkan sebuah video yang memaparkan seseorang sedang mencurahkan cecair disyaki minyak petrol di hadapan kedai motosikal milik keluarga pengadu. Bimbang dengan ugutan tersebut, pengadu telah menyalurkan maklumat kepada polis.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis daripada Balai Polis Taman Perling telah sampai di lokasi rumah pengadu.
“Polis mendapati sebuah kereta jenis Toyota Corolla Altis dipercayai dipandu oleh suspek telah merempuh pintu pagar di bahagian hadapan rumah pengadu dan suspek kemudian melarikan diri dengan kereta yang sama,” jelasnya.

Suspek positif dadah terlarang
Menurut Fariz Ammar lagi, sewaktu ditahan pihaknya mendapati pemandu kenderaan tersebut adalah seorang wanita tempatan serta tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
Namun, hasil pemeriksaan ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah terlarang jenis Benzo.
“Perbuatan wanita tersebut merempuh pagar rumah pengadu turut dirakam melalui kamera litar tertutup (CCTV).
Alami kerugian RM15,000
“Disebabkan perbuatan itu pintu pagar automatik milik rumah pengadu tercabut dan menghempap kereta milik bapa pengadu hingga menyebabkan kerosakan di bahagian belakang kereta tersebut dan jumlah kerugian dianggarkan RM15,000,” katanya lagi.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Seksyen 506 KK memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Manakala Seksyen 427 KK boleh dihukum penjara tidak kurang setahun dan tidak melebihi lima tahun atau denda atau keduanya sekali jika di sabit kesalahan.
“Wanita tersebut turut disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952, jika disabit kesalah boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih 2 tahun,” kata beliau lagi.