fbpx
Now Reading
Suami Isteri Sedih, Kematian Anak Berkait Dengan Sindiket Pemerdagangan Orang

Suami Isteri Sedih, Kematian Anak Berkait Dengan Sindiket Pemerdagangan Orang

Remaja terbabit dipercayai menjadi mangsa sindiket pemerdagangan orang dan diseludup ke Myawaddy, Myanmar serta dipaksa bekerja untuk sindiket itu.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Ibu bapa warga Malaysia yang ke Bangkok untuk mencari anak lelakinya yang hilang tidak dapat menahan kesedihan apabila mengetahui anaknya sudah meninggal dunia.

Menurut laporan Bernama, anak pasangan suami isteri itu meninggal dunia sejak 11 Mei lalu di Hospital Mae Sot berhampiran sempadan Thailand-Myanmar.

Jadi mangsa sindiket pemerdagangan orang dan penipuan kerja

Lebih memilukan apabila Goi Chee Kong, 50 dan isterinya yang berusia 45 tahun dari Ipoh, Perak mendapat tahu yang anak sulungnya Zhan Feng, 23 menjadi mangsa sindiket penipuan kerja.

Anak pasangan terbabit dipercayai menjadi mangsa sindiket pemerdagangan orang dan diseludup ke Myawaddy, Myanmar serta dipaksa bekerja untuk sindiket itu.

Pasangan suami isteri itu bertolak ke Bangkok pada 30 Ogos lalu dan dijadualkan ke Mae Sot pada hari berikutnya untuk bertemu anaknya.

“Kami diberitahu anak kami sakit dan menerima rawatan di hospital. Jadi, saya dan isteri datang ke Bangkok untuk bawa dia pulang ke Malaysia bagi dapatkan rawatan.

“Bagaimanapun, kami diberitahu dia meninggal dunia pada 2 pagi 11 Mei. Doktor percaya anak saya didera sebelum ditinggalkan di hospital pada 11 April,” katanya.

Guna nama dan nombor pasport palsu ketika di hospital

Menurutnya, anaknya digunakan nama dan nombor pasport palsu ketika dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) hospital berkenaan.

Chee Kong berkata, berikutan itu pihak hospital tidak dapat menghubungi kedutaan dan keluarga untuk memaklumkan mengenai keadaan kesihatan dan rawatan anaknya.

“Disebabkan tidak mendapat rawatan lanjut, sebulan kemudian dia meninggal dunia. Jasadnya dikebumikan di tanah perkuburan di Si Racha di wilayah Chonburi,” katanya lagi.

Perlu membayar bil tunggakan RM40,000

Chee Kong dan isterinya yang berharap dapat membawa pulang abu anak mereka bagaimanapun perlu membayar tunggakan bil hospital kira-kira RM40,000.

Tunggakan bil itu perlu dijelaskan sebelum boleh mendapatkan sijil kematian untuk menjalankan ujian DNA dan pembakaran mayat.

Bantuan ADUN Teruntum berjaya mengumpul RM50,000

Bantuan dari Ahli Dewan Undangan Negeri Teruntum, Sim Chon Sing yang menjalankan kempen mengumpul dana yang dilancarkan pada Jumaat lalu di laman Facebook miliknya telah berjaya mengumpul sejumlah RM50,000.

Jumlah wang terkumpul itu akan digunakan untuk membayar bil dan yuran pembakaran mayat serta membawa pulang Abu ke Ipoh, Perak.

Menurutnya, urusan pembayaran bil hospital akan dibuat pada Isnin bagi mendapatkan sijil kematian serta kebenaran untuk menggali kubur.

“Kami berharap dapat bawa pulang abu ke Malaysia pada Khamis. Kami harap semuanya akan berjalan lancar,” ujar Sim.

Mangsa ke Bangkok untuk bercuti dan bertemu rakan

Terdahulu, Zhan Feng berlepas ke Bangkok untuk bercuti pada 19 Januari lalu dan bagi bertemu rakan yang dikenalinya di media sosial.

Mangsa yang sepatutnya pulang ke tanah air pada 5 Mei untuk menyambut ulang tahun kelahiran ibunya bagaimanapun tidak tiba menyebabkan bapanya membuat laporan orang hilang pada 7 Feb.

Pada 31 Mac, pelajar itu menghubungi keluarganya dan memberitahu dia berada di Mae Sot di Wilayah Tak, serta memerlukan RM80,000 untuk rawatan perubatan.

“Kami percaya sesuatu berlaku pada dia. Kami yakin dia sedang diperhatikan dan diancam. Dia minta maaf kerana tak dapat balik ke rumah. Dia janji akan balik semula setahun kemudian, sejak itu kami tidak dengar apa-apa berita daripadanya,” kata Chee Kong.

Bapa mangsa berharap agar insiden ini dapat dijadikan pengajaran buat yang lain

Chee Kong percaya bahawa anaknya telah menjadi mangsa sindiket penipuan kerja dan menasihati agar pencari kerja tidak terpedaya dengan tawaran pekerjaan dengan upah yang lumayan dari luar negara.

“Kami terima apa yang berlaku. Saya harap apa yang menimpa anak saya menjadi pengajaran kepada semua pencari kerja. Saya harap perkara yang sama tidak akan berulang,” katanya lagi.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.