Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin (KJ) pada petang Selasa (13 September) menafikan dakwaan bahawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang kini menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang akan dibawa ke Institut Jantung Negara (IJN).
Sebaliknya KJ memaklumkan, jika mengikut prosedur, setiap banduan perlu menjalani rawatan di hospital kerajaan. Bagi kes bekas Perdana Menteri itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sudah pun membuat keputusan bahawa Najib dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).
“Prosedur banduan adalah dirujuk ke hospital kerajaan dan bagi kes Najib, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memutuskan beliau dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL),” katanya.
Ubat yang diberi kepada Najib adalah sama
Mengulas mengenai dakwaan ada berlakunya pertukaran ubat baru sehingga menyebabkan tekanan darah Najib berada pada tahap tinggi, KJ menegaskan perkara itu adalah tidak benar sebaliknya ubat yang diberikan adalah yang sama jenisnya.
“Jenis-jenis ubat yang dipreskrib untuk Najib adalah sama dengan yang diambil beliau sebelum ini, ubat itu sama, formula sama tetapi bentuk generik,” katanya.
Semalam (12 September) Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri telah mengarahkan KKM agar memberikan rawatan yang terbaik kepada Ahli Parlimen Pekan itu selepas mengetahui mengenai keadaan kesihatannya.
Tidak lama kemudiannya, peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan Najib mungkin akan dirujuk ke Institut Jantung Negara (IJN) pada hari ini.