Tular Fenomena Gunung Berapi Lumpur Meletus Di Lahad Datu, Sabah Buat Ramai Kagum [Video]
Fenomena gunung berapi lumpur ‘meletus’ yang jarang berlaku itu terjadi kerana terdapat tekanan lumpur dalam bumi yang menyebabkan ia perlu dilepaskan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Baru-baru ini, tular di media sosial memaparkan sebuah gunung berapi lumpur di Taman Hidupan Liar Tabin, Lahad Datu, Sabah yang disyaki meletus serta mengeluarkan lumpur yang banyak, pada pagi semalam (18 September).
Memetik laporan Harian Metro, fenomena tersebut dipercayai dirakam oleh individu yang berada di kawasan berdekatan dengan gunung berapi lumpur itu sebelum ia dimuat naik di laman media sosial.
Orang ramai kongsi video gunung berapi lumpur, dakwa mungkin gempa bumi berlaku
Sebaik sahaja ia berjaya dirakam, video tersebut kemudian telah dikongsikan oleh orang ramai menerusi laman Facebook mereka yang kagum dengan fenomena itu.
Akan tetapi, ada juga yang mengaitkan fenomena yang jarang berlaku itu dengan kemungkinan gempa bumi boleh berlaku kerana insiden gegaran semula jadi tersebut sudah sering terjadi di Sabah khususnya selepas gempa bumi sederhana bermagnitud 5.9 skala Richter berpusat di Gunung Kinabalu pada tahun 2015 yang lalu.
Fenomena biasa, berlaku kerana tekanan lumpur dalam bumi meningkat
Pakar Geologi Sabah Prof Dr Felix Tongkul bagaimanapun ketika dihubungi memaklumkan, fenomena tersebut merupakan suatu perkara yang sering berlaku. Hal ini kerana, terdapat tekanan lumpur dalam bumi yang meningkat dan ia hendaklah dilepaskan.
“Keadaan ini berulang bila tekanan terkumpul pada sesuatu masa tertentu. Kejadian volkano lumpur seperti ini (lebih aktif) kadang-kadang berlaku semasa kejadian gempa bumi,” jelasnya kepada Harian Metro.
Selain Tabin, Taman Pulau Tiga antara kawasan gunung berapi yang popular dan dijadikan kawasan pelancongan
Di Sabah terdapat beberapa lagi kawasan yang mempunyai gunung berapi lumpur selain di Tabin dan antara yang popular adalah di Taman Pulau Tiga, Kuala Penyu.
Pulau Tiga ini juga turut dijadikan sebagai lokasi tarikan pelancongan di Sabah di mana ia terbentuk hasil daripada letusan gunung berapi lumpur pada tahun1897 selepas berlaku gempa bumi di Mindanao, selatan Filipina.