fbpx
Now Reading
SUKE Highway: PROLINTAS Kenal Pasti Lokasi ‘Panas’ & Tingkatkan Keselamatan Lebuh Raya
Lebuh raya SUKE

SUKE Highway: PROLINTAS Kenal Pasti Lokasi ‘Panas’ & Tingkatkan Keselamatan Lebuh Raya

Ia berikutan berlakunya insiden pertama semalam (19 September) di SUKE Highway yang melibatkan sebuah kenderaan dengan penunggang motosikal.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Sejak 16 September lalu, lebuh raya Sungai Besi – Ulu Kelang (SUKE) bagi fasa pertama yang bermula dari persimpangan Cheras-Kajang sehingga ke Hulu Klang sudah mula dibuka.

Oleh itu, ramai yang mengambil kesempatan ini untuk melalui lebuh raya tersebut selepas ia dilancarkan kerana ingin melihat pemandangan yang cantik selain menikmati kemudahan tol percuma yang diumumkan oleh Menteri Kanan Kerja Raya Dato’ Sri Haji Fadillah Haji Yusof.

Pengguna perlu utamakan keselamatan, jangan berhenti jika tiada kecemasan

Oleh itu, pengguna yang menggunakan lebuh raya ini dinasihatkan agar mengutamakan keselamatan sepanjang pemanduan serta tidak memberhentikan kenderaan di bahagian bahu jalan sekiranya tiada hal kecemasan.

Memetik laporan Harian Metro, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohammad Azlan Abdullah memaklumkan, terdapat segelintir orang ramai yang teruja sehingga bertindak untuk memberhentikan kenderaan mereka di laluan kecemasan hanya mahu merakam pemandangan menarik di beberapa kawasan di lebuh raya tersebut.

“Kami melarang sama sekali pengguna daripada memberhentikan kenderaan di bahu jalan tanpa alasan kecemasan kerana perbuatan itu amat berbahaya bukan saja kepada diri mereka sendiri, malah pengguna lebuh raya lain.

“Aspek keselamatan sentiasa diutamakan oleh PROLINTAS. Kami cukup berbesar hati dengan sokongan yang diberikan pengguna. Namun, kami berharap agar semua pihak dapat menjaga aspek keselamatan di lebuh raya agar tiada insiden tidak diingini berlaku,” jelasnya.

Kemalangan pertama di lebuh raya SUKE

Terdahulu, media melaporkan kejadian kemalangan pertama di lebuh raya terbabit yang melibatkan sebuah kenderaan Perodua Myvi dan motosikal selepas tiga hari ia dibuka.

Punca kemalangan itu berlaku adalah kerana pemandu kenderaan itu disyaki telah berhenti di bahagian laluan kecemasan bagi mengambil gambar di lebuh raya itu.

Berikutan daripada insiden tersebut, penunggang motosikal yang terlibat dilaporkan mengalami kecederaan.

PROLINTAS kesan beberapa lokasi tumpuan

Jelas Mohammad Azlan, bahagian operasi SUKE telah mengesan beberapa kawasan yang sering menjadi perhatian pengguna di sepanjang jajaran lebuh raya tersebut.

Oleh itu, demi memastikan keselamatan pengguna lebuh raya berkenaan untuk berada di tahap terbaik, PROLINTAS akan melakukan pelbagai langkah penting untuk mengelakkan daripada berlakunya sebarang perkara yang tidak diingini.

Buat rondaan dan letakkan kon keselamatan elak pengguna berhenti

“Unit Polis Bantuan PROLINTAS atau ‘peronda SUKE’ yang bertugas 24 jam melakukan rondaan dengan lebih kerap dan ditempatkan di lokasi panas itu. Selain itu, papan tanda ‘Dilarang Berhenti Kecuali Kecemasa’ juga akan dipasang di kawasan dikenal pasti dalam masa terdekat.

“Kon keselamatan turut ditempatkan di lokasi berkenaan untuk menghalang pengguna daripada berhenti tanpa alasan kecemasan,” katanya.

Pastikan lebuh raya sentiasa diselenggara

Tambahnya lagi, bahagian operasi SUKE turut akan memastikan lebuh raya ini akan diselenggara dan berada pada tahap optimum serta bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan aliran lalu lintas bergerak dengan baik.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan hampir 100,000 kereta telah melalui lebuh raya tersebut dalam tempoh 24 jam pertama selepas ia dibuka kepada orang ramai bermula 16 September yang lalu.

Dapat sambutan luar biasa sejak dibuka

Menurutnya, sambutan yang diberikan oleh orang ramai adalah luar biasa serta menjangkaui daripada sasaran trafik harian (ADT) bagi fasa pertama iaitu sebanyak 80,000 kereta sehari.

“Kebanyakan pengguna terawal lebuh raya SUKE terdiri daripada penduduk sekitar yang mengambil kesempatan cuti umum sempena Hari Malaysia untuk merasai sendiri pengalaman perjalanan di atas lebuh raya bertingkat terbaharu di Lembah Klang ini,” jelasnya.

Katanya lagi, satu kawasan rehat dan rawat juga bakal dilakukan berhampiran persimpangan Tasik Tambahan untuk memberikan pengguna dapat menikmati pemandangan Kuala Lumpur dengan lebih selamat.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.