fbpx
Now Reading
Pelajar 8 Tahun Nyaris Diculik Lepas ‘Diajak’ Naik Kereta Individu Tak Dikenali Depan Sekolah
Pelajar hampir diculik di kelantan

Pelajar 8 Tahun Nyaris Diculik Lepas ‘Diajak’ Naik Kereta Individu Tak Dikenali Depan Sekolah

Menurut bapa pelajar tersebut, kanak-kanak itu turut diberitahu oleh salah seorang dari individu berkenaan bahawa ibu bapa tidak datang untuk menjemputnya kerana ke klinik.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Seorang pelajar berusia lapan tahun berdepan dengan detik cemas selepas dia disyaki dipelawa untuk menaiki sebuah kenderaan oleh empat individu lelaki yang tidak dikenalinya di hadapan sebuah sekolah di Selising, Kelantan, pada 25 September lalu.

Memetik laporan Utusan Malaysia, dalam insiden yang terjadi sekitar jam 4.30 petang itu, kanak-kanak yang merupakan pelajar tahun dua tersebut sedang menanti ibunya untuk dijemput pulang dari sekolah.

Individu beritahu pelajar ibu bapa tak jemput, cemas dengan keadaan itu pelajar masuk ke sekolah

Menurut bapa pelajar tersebut, Ahmad Ismail, 57 tahun, berdasarkan cerita anaknya, salah seorang daripada lelaki terbabit memberitahu kepada kanak-kanak itu bahawa ibu bapanya tidak datang menjemput disebabkan pergi ke klinik.

Ahmad Ismail berkata, anaknya itu berasa cemas apabila disapa orang yang tidak dikenali, dia kemudian segera berlari masuk semula ke dalam kawasan sekolah.

Bapa bersyukur anak bertindak pantas dan selamat

“Dia sempat melihat empat lelaki itu, namun, tidak pasti kereta yang dinaiki mereka. Saya amat bersyukur kerana dia bertindak pantas dengan masuk semula ke dalam sekolah. Alhamdulillah, dia selamat.

“Saya membuat pendedahan ini bertujuan untuk memberi kesedaran khususnya ibu bapa agar cakna terhadap anak-anak. Saya tidak menyalahkan sesiapa dalam kes ini,” jelasnya kepada media.

Sentiasa beritahu anak jangan ikut orang tidak dikenali

Kata lelaki itu lagi, dia sentiasa memberitahu anak supaya tidak mengekori mana-mana individu yang tidak dikenali khususnya apabila pulang dari sekolah.

Dia turut bersyukur kerana anak kelima dari enam beradik itu patuh kepada nasihatnya serta dalam masa sama dapat menghindari dari berlaku perkara yang tidak diingini seperti insiden culik.

Polis maklum tak terima laporan berhubung kes tersebut

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria sewaktu dihubungi memaklumkan tidak menerima laporan berkaitan kes tersebut setakat ini.

Zaizul berkata, apa-apa berita boleh memberi kerisauan kepada rakyat, ia perlu disemak dan diteliti selain disahkan kepada polis terlebih dahulu.

Nasihat orang ramai tak sebar berita tak sahih kerana boleh timbulkan kebimbangan

“Saya nasihatkan orang ramai tidak menyebarkan menularkan berita tidak sahih yang menimbulkan kegusaran orang ramai menerusi media sosial. Sebaliknya terus melaporkan kepada polis jika ada kesahihan kejadian itu,” ulas Zaizul.

Menurutnya, bagi mereka yang menyebarkan berita tidak benar boleh didakwa di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan atau Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Sebelum ini, kecoh di laman Facebook apabila terdapat seorang individu lelaki yang memberitahu bahawa anaknya hampir menjadi mangsa penculikan di sebuah sekolah di Pasir Puteh.

Perkara itu secara tidak langsung telah membuatkan ramai risau kerana banyak kes cubaan culik kanak-kanak berlaku sejak kebelakangan ini.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.