fbpx
Now Reading
Bapa Durjana Direman, Dipercayai Jual Anak 10 Tahun Kepada Rakan Untuk Diperkosa

Bapa Durjana Direman, Dipercayai Jual Anak 10 Tahun Kepada Rakan Untuk Diperkosa

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 31 (1)(b) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana melakukan pengabaian kanak-kanak dan Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana jenayah rogol ke atas kanak-kanak.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Seorang lelaki di Kuching, Sarawak ditahan selepas dipercayai menjual anak perempuannya yang berusia 10 tahun kepada seorang rakan lelaki untuk diperkosa.

Tindakan tidak berperikemanusiaan bapa durjana ini kemudiannya menyebabkan dia turut direman selama lima hari.

Majistret Mahkamah Kuching, Zubaidah Sharkawi pada Rabu (28 Sept) membenarkan suspek direman sehingga Isnin, 3 Oktober bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan lanjut.

Menurut laporan Awani, perbuatan lelaki itu hanya dibongkar selepas kanak-kanak itu memaklumkan berkenaan kepada seorang gurunya sebelum satu laporan polis dibuat.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad yang mengesahkan insiden berkenaan berkata, suspek berjaya diberkas pada Selasa lepas (27 Sept) sekitar jam 2 petang.

Penahanannya itu dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Padawan di sekitar Batu 10 Matang, Padawan, Kuching.

Polis masih siasat motif, mohon orang tidak buat spekulasi

Disoal sama ada perbuatan suspek mempunyai kaitan dengan masalah judi, Abang Zainal berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan dari pelbagai sudut termasuk dakwaan itu sebagai motif.

Beliau dalam masa sama turut meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes ini memandangkan ianya masih lagi dalam siasatan.

Timbulkan kemarahan pengguna media sosial

Laporan tersebut yang dikongsikan di Twitter turut membangkitkan kemarahan orang ramai yang menyifatkan lelaki ini sebagai tidak berakal.

Malah ada yang terkejut kerana kes sebegini yang biasanya berlaku di luar negara sudah pun berlaku di Malaysia.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 31 (1)(b) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana melakukan pengabaian kanak-kanak dan Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana jenayah rogol ke atas kanak-kanak.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.