Seorang pemandu dan 12 orang murid berdepan dengan detik cemas apabila van sekolah yang dinaikinya terlibat dalam kemalangan di Kilometer 6.7 Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) menghala ke Plaza Tol Ayer Hitam, Sepang, Selangor, semalam (5 Oktober).
Memetik laporan Harian Metro, Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof memaklumkan, polis menerima maklumat tentang insiden berkenaan lebih kurang jam 2 petang.
Van dipandu lelaki tempatan bawa 12 pelajar hilang kawalan sebelum terbabas
“Hasil siasatan awal dilakukan mendapati kemalangan itu berlaku apabila van berkenaan membawa 12 penumpang yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun dari arah Kajang menghala ke Plaza Tol Ayer Hitam.
“Kenderaan itu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas sendiri. Pemandu itu bersama 12 pelajar sekolah berusia lapan hingga 16 tahun dibawa ke Hospital Serdang untuk menerima rawatan.
“Daripada 12 pelajar berkenaan, enam pelajar berusia sembilan hingga 16 tahun menerima rawatan sebagai pesakit luar dan dibenarkan pulang,” jelasnya.
Pemandu alami kecederaan, 2 pelajar terima rawatan di zon merah
Menurut beliau, pemandu van tersebut mengalami kecederaan patah kaki di bahagian kiri dan dua lagi pelajar perempuan berusia lapan tahun telah ditempatkan di zon merah Unit Kecemasan hospital tersebut.
“Empat lagi murid berusia lapan hingga 12 tahun pula dirawat di zon kuning Unit Kecemasan hospital terbabit.
“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” maklum Wan Kamarul lagi.