fbpx
Now Reading
Polis Siasat Kereta Kemalangan Gara-gara Elak ‘Kelibat’, Tapi Jumpa Mayat Reput Dalam Semak

Polis Siasat Kereta Kemalangan Gara-gara Elak ‘Kelibat’, Tapi Jumpa Mayat Reput Dalam Semak

Pemandu Proton Saga Aeroback berkenaan dikatakan gagal mengawal kenderaannya selepas dia ternampak satu kelibat yang tiba-tiba melintas di hadapan keretanya pada jam sekitar 5 pagi.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Siapa sangka siasatan pihak polis terhadap satu kemalangan kereta berhampiran persimpangan lampu isyarat Pekan Tambun, Ipoh pada pagi semalam (13 Oktober) bertukar menjadi penemuan satu mayat reput.

Menurut laporan media, mayat wanita yang dipercayai meninggal dunia beberapa hari lalu itu ditemui kira-kira dua meter dari kereta Proton Saga Aeroback yang terbabas ke dalam longkang berdekatan.

Pemandu Proton Saga cuba elak suatu ‘kelibat’ sebelum terbabas

Difahamkan sebelum penemuan mayat tersebut, Proton Saga yang dipandu seorang anggota tentera dari arah Hulu Kinta itu telah terbabas sebaik sahaja melintasi lampu isyarat.

Anggota tentera berkenaan dikatakan gagal mengawal kenderaannya selepas dia ternampak satu kelibat yang tiba-tiba melintas di hadapan keretanya pada jam sekitar 5 pagi.

Polis yang jalankan siasatan tiba-tiba terjumpa mayat

Setengah jam kemudian, anggota polis trafik penyiasat tiba dan terus menjalankan siasatan. Dia bagaimanapun telah menemui mayat reput tersebut tidak jauh dari lokasi kemalangan.

Dia lantas membuat laporan di Balai Polis Tambun sebelum mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk proses bedah siasat.

Mangsa mati akibat dicekik

Menurut Ketua Polis Perak Mohd Yusri Hassan Basri, hasil bedah siasat ke atas mayat wanita tersebut kemudianya mendapati mangsa mati akibat dicekik (manual strangulation).

Sehubungan itu kes itu telah diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Polis sedang menyiasat kes ini dari pelbagai sudut, siasatan identiti mangsa dipercayai seorang wanita tempatan berumur 23 tahun, berdasarkan lambang tatu di lengan dan jari tangan.

“Telefon bimbit yang dijumpai di tempat kejadian juga disahkan milik mangsa,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis malam.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu untuk tampil dan berhubung dengan pegawai penyiasat kanan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh, Chua Sze Yuan di talian 012-6195312 bagi membantu siasatan.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.