Semalam (27 Oktober), media melaporkan tentang satu penemuan ‘janin bayi’ yang dijumpai oleh seorang pekerja am ketika sedang membuat kerja pembersihan tandas wanita di Masjid Kampung Labohan, Kerteh, Terengganu.
Menurut pekerja berkenaan, janin yang dijumpai di atas lantai itu mempunyai struktur badan yang lengkap seperti kepala, tangan dan kaki serta dianggarkan berusia empat bulan.
Perkara itu kemudian dimaklumkan kepada ahli jawatankuasa masjid dan juga polis.
Janin bukan milik manusia tetapi kucing
Namun, pihak berkuasa memaklumkan janin berkenaan bukanlah milik manusia tetapi kucing.
Memetik laporan Kosmo, Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan memaklumkan, perkara itu disahkan oleh Unit Forensik Hospital Kemaman selepas janin berkenaan dibawa untuk pemeriksaan lanjut.
“Pegawai perubatan yang melakukan pemeriksaan mendapati janin itu memiliki ekor.
“Ia kemudian disahkan janin kucing bukannya manusia,” jelasnya kepada Kosmo.