Baru-baru ini, tular satu video di media sosial yang memaparkan tindakan seorang lelaki berbaju melayu yang sedang merosakkan ‘kolam’ Rangoli disyaki di sebuah hospital swasta di Klang.
Menerusi video itu, individu berkenaan bukan hanya memijak hiasan yang berada di lantai berkenaan tetapi turut menguis ‘kolam’ itu dengan menggunakan kakinya.
Polis kemudiannya memaklumkan akan memanggil pelaku untuk diambil keterangan.
Baca artikel berkaitan: Polis Panggil Lelaki Yang Tular Rosakkan ‘Kolam’ Deepavali
Dua pekerja hospital direman 3 hari
Terbaharu, dua pekerja hospital tersebut telah direman selama tiga hari untuk membantu siasatan berhubung hal terbabit.
Memetik laporan Kosmo, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S.Vijaya Rao menyatakan, dua kakitangan yang berumur 20 dan 30an tersebut ditahan sekitar jam 11 malam tadi (30 Oktober) selepas hadir ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) bagi memberikan keterangan.
“Dua suspek itu masing-masing individu yang berjalan dengan kasut atas kolam Deepavali dan yang menjadi perakam.
“Mereka kini direman tiga hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan,” ulasnya.
Menurut beliau, siasatan lanjut berhubung kes tersebut masih dilakukan untuk mengetahui motif insiden itu berlaku.