fbpx
Now Reading
[Terkini] BNM Naikkan Kadar OPR 25 Mata Atas Kepada 2.75%

[Terkini] BNM Naikkan Kadar OPR 25 Mata Atas Kepada 2.75%

Seiring dengan pelarasan tersebut, BNM turut mengumumkan kadar tertinggi dan terendah koridor bagi OPR turut dinaikkan masing-masing kepada 3.00% dan 2.50%.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini, 3 November menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kepada 2.75%, kenaikan 25 mata asas untuk kali keempat berturut-turut sejak Mei 2022.

Seiring dengan pelarasan tersebut, BNM turut mengumumkan kadar tertinggi dan terendah koridor bagi OPR turut dinaikkan masing-masing kepada 3.00% dan 2.50%.

Kenaikan tersebut diputuskan sewaktu sidang Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) yang bermesyuarat pada Khamis petang.

“Berlatarkan prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia yang terus positif, MPC mengambil keputusan untuk membuat pelarasan selanjutnya terhadap tahap akomodasi monetari. Pelarasan ini juga akan menguruskan secara lebih awal berhubung dengan risiko tekanan permintaan terhadap harga yang berlebihan.

“Keputusan ini selaras dengan penyesuaian semula penetapan dasar monetari yang mengimbangi risiko terhadap inflasi dan pertumbuhan dalam negeri yang mampan. Pada kadar OPR semasa, pendirian dasar monetari kekal akomodatif dan menyokong pertumbuhan ekonomi,” kata BNM dalam satu kenyataan.

Inflasi keseluruhan mungkin pada tahap tertinggi bagi Q3 2022

Tambah BNM, selaras dengan penilaian terdahulu, inflasi keseluruhan mungkin berada pada tahap tertinggi pada Q3 2022 dan dijangka akan menjadi sederhana, meskipun kekal pada tahap tinggi.

“Inflasi asas, seperti yang diukur oleh inflasi teras, diunjurkan untuk berpurata lebih hampir kepada tahap tinggi dalam julat unjuran 2.0% hingga 3.0% pada tahun 2022, setelah berpurata 2.7% sejak awal tahun sehingga kini, berikutan wujudnya sedikit tekanan yang didorong permintaan dalam keadaan kos yang tinggi.”

Menurut kenyataan itu lagi, menjelang tahun 2023, inflasi keseluruhan dan inflasi teras dijangka kekal tinggi berikutan tekanan permintaan dan kos, serta apa-apa perubahan pada langkah-langkah dasar dalam negeri.

“Kesan tekanan inflasi menjadi lebih tinggi juga sebahagiannya akan terus dibendung oleh kawalan harga yang sedia ada, subsidi dan lebihan kapasiti yang masih wujud dalam ekonomi. 

“Imbangan risiko terhadap prospek inflasi pada tahun 2023 cenderung ke arah inflasi menjadi lebih tinggi dan terus bergantung pada langkah-langkah dasar dalam negeri mengenai subsidi serta perkembangan harga komoditi global yang berpunca terutamanya daripada konflik ketenteraan yang berterusan di Ukraine dan gangguan berkaitan bekalan yang berlarutan,” kata BNM.

Ekonomi Malaysia terus kukuh

Tambah BNM lagi, penunjuk terkini menunjukkan bahawa kegiatan ekonomi Malaysia terus bertambah kukuh pada suku ketiga tahun 2022, didorong terutamanya oleh permintaan dalam negeri yang teguh.

“Pada masa hadapan, permintaan dalam negeri akan terus menjadi pendorong utama pertumbuhan meskipun persekitaran global mencabar. Perbelanjaan isi rumah akan terus disokong oleh keadaan pasaran pekerja dan prospek pendapatan yang bertambah baik. Ketibaan pelancong telah meningkat susulan pembukaan semula sempadan antarabangsa dan akan mengukuhkan lagi sektor berkaitan pelancongan,” kata bank pusat itu.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.