fbpx

PRU15: Calon Yang Kematian Suami Tak Boleh Berkempen, Sepanjang Tempoh Edah – Mufti Perlis

Menurut Mufti Perlis itu, pilihan raya pada konteks hari ini hanyalah perebutan kuasa dan bukannya kelangsungan hidup seseorang.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menegaskan calon wanita yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) namun baru kematian suami atau dalam tempoh edah tidak boleh keluar berkempen.

Menurutnya, calon tersebut tidak boleh keluar ‘bait al-zaujiyyah’ atau rumah kehidupan sebagai pasangan suami isteri atau tempat menetap sepanjang tempoh edah jika tiada rumah perkahwinan untuk berkempen pilihan raya.

“Keluar untuk kempen pilihan raya bukan keperluan hidup, yang mana jika dia tidak keluar maka hidupnya terjejas dan hidup seseorang tidak bergantung kepada hal itu, kerana jika dia tidak menyertai berkempen pilihan raya pun tidak menjejaskan keperluan asas hidupnya.

“Malah, orang lain juga tidak mendapat kesusahan kerana ketidakhadiran beliau berkempen,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook beliau.

Isteri kematian suami wajib berada dalam tempoh edah

Menurutnya lagi, isteri yang kematian suami wajib berada di dalam tempoh edah selama empat bulan 10 hari.

“Ini adalah perintah al-Quran dan al-Sunnah dimana hanya tempoh itu boleh disingkatkan jika wanita itu mengandung dan melahirkan anak sebelum tempoh itu.”

Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 234 yang bermaksud:

“Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri hendaklah isteri itu menahan diri mereka (beredah) selama empat bulan sepuluh hari.”

“Malah, kewajipan berada dalam ‘iddah (edah) ini sudah jelas dalam al-Quran, al-Sunnah dan ijmak (kesepakatan tanpa kecuali) para mujtahidin dan semua ulama sudah berijmak bahawa larangan yang paling wajib dipatuhi dalam tempoh itu adalah tidak boleh bernikah.

“Dalam masa yang sama majoriti ulama bersepakat bahawa larangan lain yang mesti dipatuhi ialah tidak boleh keluar daripada rumah melainkan jika ada keperluan yang dibenarkan,” katanya.

PRU hanyalah perebutan kuasa, bukan kelangsungan hidup

Tambah Mohd Asri, pilihan raya pada konteks hari ini hanyalah perebutan kuasa dan bukannya kelangsungan hidup seseorang.

“Bahkan banyak pihak lain yang boleh melakukan hal yang sama dan tidak bergantung hanya pada orang tertentu sahaja, namun jika seseorang berada dia suatu tempat atau negara yang penyertaannya menentukan ‘survival’ (kelangsungan) umat Islam atau keselamatan orang ramai, maka dia boleh keluar berkempen dalam konteks itu.

“Walaupun begitu, seseorang calon wanita dalam edah kematian suaminya tetap boleh berkempen di rumahnya, sama ada melalui orang yang hadir atau melalui media baharu dengan pelbagai teknologi yang ada.

Turut dilarang bersolek dan berhias

Selain itu Mohd Asri juga mengingatkan tentang larangan bersolek dan berhias yang disebut oleh Rasullah SAW maka kemunculan wanita terbabit di dalam media sosial atau siaran langsung hendaklah mengambil kira hal berkenaan.

Beliau pada masa sama turut mengesahkan sudah dihubungi oleh calon berkenaan yang sudah diberitahu mengenai hukum dan peraturan mengikut syarak.

Calon wanita itu memaklumkan beliau akan sentiasa mematuhi hukum syarak  yang telah ditetapkan dalam Islam.

Zahida akur, menyerahkan segala proses kempen pada jentera BN

Terdahulu, wujud kebimbangan sama ada calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Padan Besar , Datuk Zahida Zarik Khan akan turun padang bagi menyertai kempen PRU15 kerana beliau masih lagi dalam tempoh edah kerana kematian suami pada bulan Ogos lalu.

Susulan kebimbangan itu, Zahida menerusi hantaran video di laman Facebook miliknya akur dengan hukum syarak itu dan menyerahkan segala proses kempen pilihan raya kepada jentera BN cawangan tersebut.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.