
Ulama Terkenal Kedah, Pak Su Mid Meninggal Dunia
Al Allamah Arif Billah Tok Wali Pak Su Mid dikhabarkan meninggal dunia akibat sakit tua pada petang Jumaat.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ulama terkenal Kedah, Tuan Guru Abdul Hamid Ismail atau lebih dikenali sebagai Pak Su Mid, Kuala Nerang meninggal dunia, petang Jumaat (11 November) dipercayai akibat sakit tua.
Khabar duka tersebut dikongsikan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menerusi satu hantaran di Facebook pada petang Jumaat.
“Innalillahi wainna ilaihi rojiun…Telah menghadap PENCIPTA ‘Permata Bumi Kedah’ sebentar tadi. Semoga rohnya dihimpunkan bersama para anbiya dan orang-orang soleh. Al-fatihah.”
Berita sama turut dikongsikan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad di akaun Twitter rasmi miliknya yang menyifatkan beliau kini kehilangan seorang lagi sahabat.
Saya terima berita sedih berkenaan pemergian ke rahmatulllah sahabat saya Pak Su Mid.
— Dr Mahathir Mohamad (@chedetofficial) November 11, 2022
Saya ucap takziah kepada keluarga Allahyarham. Saya kehilangan seorang lagi sahabat.
Semoga rohnya dicucuri rahmat & ditempatkan dalam kalangan kekasih Allah.
Innalillahiwainnailaihirojiun. pic.twitter.com/pa7LlLDVA9
Menurut Sinar Harian, Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Mulkiaman Manzar yang dihubungi mengesahkan perkara itu.
“Saya difahamkan Allahyarham meninggal dunia akibat sakit tua selepas beberapa lama dikhabarkan tidak sihat.
“Jenazah sudah dibawa pulang ke rumahnya di Kuala Pai, Bukit Tembaga, Kuala Nerang dan dijangka dikebumikan esok pagi (12 November),” kata beliau.
Tokoh agama yang dilahirkan pada 1926 itu cukup terkenal dengan kata-kata hikmahnya yang penuh dengan kiasan dalam memberi nasihat.
Malah beliau sering menjadi rujukan ramai ahli politik ternama antaranya Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam isu membabitkan rakyat.