Seramai 14 orang murid dan seorang guru wanita mendapat rawatan di Hospital Kulim selepas terkesan dengan kejadian tumpahan merkuri di makmal sebuah sekolah di Kedah, hari ini (15 November).
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim Penolong Penguasa Bomba, Hamizul Azwan Hamdan berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai insiden terbabit pada pukul 11.20 pagi.
Mangsa mengalami kegatalan pada anggota badan
“Sebaik tiba di lokasi, kita mendapati terdapat seorang guru wanita berusia 36 tahun serta lima murid lelaki dan sembilan murid perempuan berusia 11 tahun terkesan dengan tumpahan sisa merkuri itu.
“Kesemua mereka mengalami kegatalan pada anggota badan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dibawa ke hospital selepas diberi rawatan awal
Tambah Hamizul, anggota bomba kemudiannya memberikan rawatan awal sebelum kesemua mangsa dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.
“Anggota seterusnya menjalankan kerja-kerja pembersihan sisa merkuri di kawasan terjejas,” katanya lagi.