Gara-gara memilik video lucah dalam telefon bimbit pada 2018, seorang kerani di sebuah syarikat swasta didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret Klang hari ini (16 November).
Tertuduh yang dikenali sebagai Azmira Kamarudin berusia 44 tahun mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret P Sarulatha.
Pada masa sama, mahkamah turut mengarahkan tertuduh dihukum penjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda yang dikenakan terhadapnya. Dia bagaimanapun membayar denda itu.
Tertuduh memiliki 62 video lucah dalam telefon
Dia dituduh memiliki 62 video lucah dalam telefon bimbit di sebuah unit pangsapuri di Bandar Putera, Klang pada 23 Oktober 2018.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun, atau denda, atau kedua-duanya.
Tertuduh diwakili peguam Rajvinder Singh, manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), Fazril Sani Mohd Fadzil.
Terdahulu, peguam tertuduh meminta agar anak guamnya dikenakan hukuman ringan dengan mengambil kira dia mempunyai seorang anak yang masih kecil serta menjaga ibu bapa yang uzur.
“Tertuduh yang bekerja sebagai kerani hanya berpendapatan RM2,000 sebulan malah pengakuan bersalah dia juga menjimatkan masa mahkamah,” katanya lagi.