fbpx
Now Reading
Wanita Warga Asing Dipenjara 6 Bulan Lepas Mengaku Bersalah Pukul Kucing Guna Penyapu Sampai Mati
Wanita kena penjara kerana pukul kucing hingga mati

Wanita Warga Asing Dipenjara 6 Bulan Lepas Mengaku Bersalah Pukul Kucing Guna Penyapu Sampai Mati

Wanita warga asing itu bagaimanapun mengaku bersalah kerana memukul kucing tersebut sebelum dijatuhi hukuman penjara selama enam bulan.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Tindakan seorang wanita warga asing memukul seekor kucing jalanan sehingga mati dengan menggunakan penyapu akhirnya memakan diri apabila dia dijatuhi hukuman penjara selama enam bulan setelah mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya.

Memetik laporan Utusan Malaysia, Hakim Azrul Darus menjatuhkan hukuman tersebut kepada Hotimah, seorang wanita warga Indonesia berusia 60 tahun serta memerintahkan dia untuk menjalani hukuman bermula hari ini (23 November).

Pukul kucing jantan jalanan guna penyapu kedai

Berdasarkan kertas pertuduhan, Hotimah yang juga seorang peniaga pisang goreng telah didapati memukul kucing jantan jalanan itu dengan kejam menggunakan penyapu pada jam 7.45 pagi, 20 Ogos yang lepas di sebuah premis yang tidak bernombor di tepi jalan, Serdang Jaya, Seri Kembangan, Selangor.

Susulan itu, wanita berkenaan selaku Orang Kena Saman (OKS) dituduh mengikut Seksyen 29(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (akta 772) serta boleh dihukum di bawah Seksyen 29(1) akta sama.

Kesalahan di bawah seksyen ini boleh dikenakan denda minimum sebanyak RM20,000 dan maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Minta hukuman diringankan sebab ada masalah sakit jantung

Hotimah yang sebelum ini tidak diwakili oleh mana-mana peguam kemudian meminta hukumannya diringankan dengan alasan mempunyai masalah sakit jantung.

“Saya mengaku melakukan kesalahan (pukul kucing) minta maaf tuan… saya akur,” ujar tertuduh.

Pihak Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Vaterinar Selangor, Mohd. Sharif Sabran bagaimanapun meminta agar hukuman berat dikenakan kepada Hotimah untuk memberi pengajaran kepadanya.

“Dalam kes ini, OKS telah memukul seekor kucing sehingga mati. Tindakan OKS sangat kejam apatah lagi haiwan yang dipukul itu langsung tidak mengganggu atau merosakkan hartanya,” kata pegawai itu.

Sedang bersihkan kedai sebelum bertindak pukul kucing sampai mati

Menerusi fakta kes, wanita warga asing berkenaan pada ketika itu sedang melakukan kerja pembersihan di kedai tersebut dan kemudian melihat seekor kucing di atas kerusi.

Dia lalu memukul kucing itu dengan sebatang penyapu sehingga menyebabkan haiwan terbabit mati.

Berikutan itu, satu laporan polis telah dibuat terhadap wanita berkenaan dan dia ditahan untuk siasatan lanjut.

Hasil daripada bedah siasat mendapati haiwan itu mengalami retakan pada tengkorak di bahagian kiri kepalanya.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.