Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini (25 Nov) mengumumkan akan mengecilkan saiz Kabinet Kerajaan Perpaduan Nasional yang akan dipimpinnya.
Beliau menerusi satu sidang media berkata, kerajaan juga sedang mempertimbangkan untuk memotong gaji Jemaah Menteri. Ia bagaimanapun masih dalam proses dan dalam perbincangan.
Semak harga barang
Tambah Perdana Menteri lagi, keutaamaan beliau ketika ini adalah kos sara hidup rakyat. dan kenaikan barang. Sehubungan itu beliau akan mengadakan perbincangan dengan jabatan kerajaan berkaitan selewat-lewatnya hari Isnin meskipun ia adalah cuti umum.
“Saya telah memohon agar perbincangan lebih teliti dan tindakan segera diambil untuk mengurangkan tekanan rakyat. Saya akan adakan pertemuan dengan agensi berkenaan dalam masa terdekat selewat-lewatnya hari Isnin.
“Saya percaya dengan komitmen pegawai-pegawai ini. Mereka faham tugas utama kita adalah untuk meringankan beban yang dihadapi rakyat.”
Umum GRS sertai Kerajaan Perpaduan
Beliau dalam masa sama turut memaklumkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) juga secara rasmi akan menyertai Kerajaan Perpaduan. Perkara itu dimaklumkan Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor kepada beliau pagi tadi.
Keputusan itu jelas beliau akan menjadikan kerajaan pimpinan beliau hampir mempunyai sokongan majoriti dua pertiga.