
Ismail Sabri Nafi Dakwaan RM620 Bilion Perbelanjaan Pada 2020-2022 Tak Direkod
Menerusi hantaran yang sama, individu itu turut memohon maaf kepada dua bekas perdana menteri berkenaan atas ketelanjurannya yang memuat naik maklumat yang tidak sahih.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Baru-baru ini, tular satu hantaran di media sosial dikongsikan oleh seorang individu yang mendakwa sebanyak RM620 bilion perbelanjaan tidak direkod dalam akaun kerajaan.
Menerusi hantaran tersebut, individu itu menyatakan perbelanjaan tersebut adalah semasa Perintah Kawalan Pergerakan iaitu pada tahun 2020 hingga 2022.
Malah dia mendakwa ini yang menjadi punca kenapa dua bekas perdana menteri iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak mahu ada individu lain yang naik menggantikan mereka dalam mentadbir kerajaan.
Tampil nafikan dakwaan perbelanjaan tidak direkod
Terbaharu, Ismail Sabri tampil menegaskan bahawa dakwaan tersebut adalah tidak benar.
Jelasnya menerusi ciapan yang dimuat naik di Twitter, kesemua perbelanjaan kerajaan yang berkaitan telah direkodkan dalam penyata kewangan kerajaan.
Berhubung dengan komen bahawa pakej rangsangan tidak direkodkan dalam akaun Kerajaan dari tahun 2020 – 2022, saya ingin menegaskan bahawa dakwaan ini tidak benar dan kesemua perbelanjaan Kerajaan yang berkaitan telah direkodkan dalam penyata kewangan kerajaan. pic.twitter.com/24VWjNmsMl
— Ismail Sabri (@IsmailSabri60) November 28, 2022
“Nilai keseluruhan 8 pakej rangsangan adalah RM530 bilion di mana sebahagian besar tidak melibatkan perbelanjaan kerajaan (seperti moratorium pinjaman oleh bank).
“Perbelanjaan langsung kerajaan hanya sebanyak RM110 bilion dan peruntukan tersebut telah pun diluluskan Parlimen sebulat suara,” jelas Ismail Sabri.
Indivitu terlibat mohon maaf
Individu berkenaan kemudiannya tampil memohon maaf di atas ketelanjurannya dalam membuat hantaran yang tidak disahkan kesahihannya.
“Salam, saya dengan ini mohon ribuan maaf kepada YB Datuk Ismail Sabri serta YB Tan Sri Muhyiddin Yassin serta netizen di atas keterlanjuran saya memuat naik maklumat tersebut yang belum disahkan.”
Namun setakat ini tiada respon balas yang diberikan Ismail Sabri berhubung jawapan balas tersebut.
Salaam, saya dengan ini mohon ribuan maaf kepada YB Datuk Ismail Sabri serta YB TS Muhyiddin Yasin @MuhyiddinYassin serta netizen di atas keterlanjuran saya mengepos maklumat tersebut yang belum disahkan.
— Yusoff Bachek (@mohayusba) November 28, 2022