fbpx
Now Reading
Bekas MB Pahang, Adnan Yaakob Genggam Ijazah Undang-Undang Pada Usia 72 Tahun
Tan Sri Adnan Yaakob

Bekas MB Pahang, Adnan Yaakob Genggam Ijazah Undang-Undang Pada Usia 72 Tahun

Meskipun sudah mencecah usia 70-an namun Tan Sri Adnan Yaakob menyatakan dirinya sejak kecil suka mencari ilmu pengetahuan dan seronok apabila dikelilingi rakan ketika mengulang kaji pelajaran.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Menuntut ilmu merupakan satu perkara yang dituntut dalam setiap agama malah bagi individu yang mencintai ilmu, umur bukanlah menjadi penghalang buat mereka.

Mereka yang mencintai ilmu ini juga pasti akan melakukan apa sahaja meskipun sudah memiliki segalanya dalam kehidupan hariannya.

Bekas Menteri Besar Pahang berjaya genggam Ijazah Sarjana Muda pada usia 72 tahun

Perkara ini samalah seperti Bekas Menteri Besar Pahang, Tan Sri Adnan Yaakob yang berjaya menamatkan pengajiannya dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang meskipun sudah mencecah usia 72 tahun.

Menurut Berita Harian yang dipetik dari Bernama, anak kelahiran Bentong, Pahang itu merupakan antara 414 graduan yang menerima ijazah pada Majlis Konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) ke-38.

Selain berjaya memiliki Ijazah perundangan, beliau juga telah diberikan Anugerah Senarai Rektor kerana memperoleh prestasi yang baik iaitu sebanyak 3.62 bagi Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA).

Tekad nak teruskan pelajaran, pernah belajar undang-undang tapi tak tamat kerana dipanggil bertanding PRU

Bercerita tentang perjalanan akademiknya, beliau bertekad untuk terus melanjutkan pelajaran dalam bidang perundangan meskipun telah memperoleh Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Sastera dari Universiti Malaya (UM) pada tahun 1984.

“Ramai orang tanya saya mengapa saya sambung belajar, sebenarnya saya dari kecil suka mencari ilmu pengetahuan. Itulah sebab walaupun sudah memiliki ijazah sarjana muda dalam bidang sastera, saya masih berminat untuk melanjutkan pelajaran.

“Sebenarnya saya pernah buat (belajar) undang-undang di sini pada 1984 dan termasuk dalam kelompok kedua jurusan ini, tetapi tidak tamat sebab saya dipanggil bertanding pilihan raya 1986 (PRU),” jelasnya kepada media.

Seronok ulang kaji dikelilingi rakan, rasa belajar itu mudah walau dah berusia

Jelasnya, beliau seronok apabila dikelilingi kawan-kawan apabila mengulang kaji pelajaran.

“Saya dapati belajar ini mudah walaupun saya sudah tua. Saya lebih suka dikelilingi kawan-kawan saya. Semasa mereka datang minum kopi, semasa itulah saya belajar kerana ia lebih cepat untuk saya. Ramai orang agak hairan mengapa saya kalau tiada kawan, saya tidak boleh belajar,” ujarnya.

Katanya, beliau berjaya memegang ijazah perundangan itu walau perlu mengikuti pelajaran selama tiga semester di atas talian dan seterusnya secara bersemuka dalam kuliah khas bersama dengan pensyarah.

“Saya diberi tempat khusus untuk mengadakan sesi pembelajaran dengan pensyarah, tetapi saya sempat berkenalan (dengan rakan sejurusan) lain melalui dalam talian. Semua pangkat anak-anak saya, ada yang panggil saya pak long, atok dan sebagainya,” guraunya.

Akan buat ‘chambering’ di Kuantan

Ketika ditanya adakah beliau mempunyai sebarang perancangan dalam menceburi bidang guaman selepas bergelar graduan, beliau menjawab dirinya mungkin akan membuat ‘chambering’ di Kuantan.

“Saya bercadang begitu, besar kemungkinan saya akan buat ‘chambering’ di Kuantan, Insya-Allah.

“Namun begitu saya kena tengok mungkin ada tawaran tertentu untuk melibatkan diri dalam bidang yang tertentu,” maklum Adnan lagi.

Untuk rekod, Tan Sri Adnan Yaakob mula memegang jawatan sebagai Menteri Besar Pahang selama 19 tahun iaitu dari tahun 1999 hingga 2018.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.