Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebentar tadi mengumumkan Kabinet bersetuju untuk memotong gaji Jemaah Menteri sebanyak 20%.
Anwar menerusi satu sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas Kabinet di Putrajaya berkata, perkara itu dipersetujui oleh Kabinet Menteri atas dasar keprihatinan terhadap rakyat.
“Jemaah menteri bersetuju atas keprihatinan kepada rakyat untuk memotong gaji setiap bulan sebanyak 20%.”
Pemotongan berterusan hingga ekonomi pulih
Tambah beliau lagi ianya akan berterusan sehingga ekonomi negara kembali pulih sebelum keputusan tersebut dikaji.
“Pemotongan sehingga ekonomi negara pulih… kalau tiga tahun.. (maka) tiga tahunlah, itu contoh,” kata Anwar.
Menyifatkan pemotongan itu bukanlah sesuatu yang wajar, beliau bagaimanapun meluahkan rasa terima kasih hati kerana jemaah menteri bersetuju dengan cadangannya itu.
Beliau dalam masa sama turut mengesahkan tidak akan mengambil gaji sebagai Menteri Kewangan.
“Ada orang kata saya tak ambil gaji PM tapi ambil gaji Menteri Kewangan… itu tidak benar…gaji dia satu sahaja,” katanya.
Terdahulu Anwar menegaskan tetap dengan pendirian untuk tidak menerima gaji bagi jawatan Perdana Menteri.