Calon PRU15 Ditahan, Miliki & Muat Naik Video Guna Senjata Api Tanpa Lesen
Polis turut merampas sepucuk pistol jenis Glock 19, satu kelopak peluru jenis Glock, 12 butir peluru hidup, kad Persatuan Menembak Selangor dan telefon bimbit bagi membantu siasatan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami!
Follow Kami
Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seorang calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi membantu siasatan berhubung kes memiliki dan menggunakan senjata api tanpa lesen serta memuat naik videonya di media sosial.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Supt Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, calon berkenaan iaitu seorang wanita berusia 28 tahun itu ditahan bersama rakannya, berumur 41 tahun di Petaling Jaya, Selangor pada Rabu (7 Disember) sekitar jam 10.20 malam.
Penahanan dua individu berkenaan dilakukan selepas polis menerima laporan pada hari yang sama berhubung satu video memperlihatkan wanita berkenaan melakukan latihan menembak tanpa kebenaran di Lapang Sasar Kelab Menembak Selangor di media sosial.
Tambah beliau lagi, video tersebut dipercayai dimuat naik oleh wanita itu di dua platform media sosial miliknya iaitu TikTok dan Instagram dengan menggunakan ID @nurfathiahsyazwana.
“Polis turut merampas sepucuk pistol jenis Glock 19, satu kelopak peluru jenis Glock, 12 butir peluru hidup, kad Persatuan Menembak Selangor dan telefon bimbit berjenama iPhone 13 Pro bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu kedua-dua individu direman selama empat hari sehingga 11 Dis ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8(A), 8(B) dan 41 Akta Senjata 1960 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.