fbpx
Now Reading
“Ini Gabungan Bukan Kerajaan Perpaduan” – Tun M

“Ini Gabungan Bukan Kerajaan Perpaduan” – Tun M

Jelas beliau, sesebuah kerajaan yang terbentuk boleh digelar kerajaan perpaduan sekiranya ia sama seperti apa yang berlaku pada zaman kerajaan United Kingdom (UK) di era Perdana Menteri Winston Churchill sewaktu Perang Dunia Ke-2 (WW2).

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan Kerajaan Persekutuan yang terbentuk ketika ini bukanlah kerajaan perpaduan (unity government) sebaliknya kerajaan gabungan (coalition government).

Menurut Tun M yang juga Pengerusi Pejuang Tanah Air (PEJUANG), perkara ini jelas kerana kerajaan yang dibentuk ketika ini tidak melibatkan semua parti yang ada di Malaysia termasuk PAS.

“Ini bukan Kerajaan Perpaduan, ini adalah coalition (gabungan). Dari dahulu kita sudah ada coalition. UMNO pun sebahagian dari 13 parti dalam Barisan Nasional (BN).

“Kita tidak pernah kata kerajaan pada waktu itu kerajaan perpaduan. Yang ini (Kerajaan Persekutuan sekarang) pun gabungan juga,” kata Tun M dalam satu temu bual bersama BuzzKini di Yayasan Perdana.

Berbeza situasi dengan sejarah UK di era Winston Churchill

Jelas Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA) itu lagi, sesebuah kerajaan yang terbentuk boleh digelar kerajaan perpaduan sekiranya ia sama seperti apa yang berlaku pada zaman kerajaan United Kingdom (UK) di era Perdana Menteri Winston Churchill sewaktu Perang Dunia Ke-2 (WW2).

“Kalau kerajaan ini terdiri dari semua parti seperti yang berlaku di era Winston Churchill pada Perang Dunia ke-2 iaitu National Government, itu dipanggil kerajaan perpaduan.

“Bila Churchill menang, tapi semasa perang dunia, beliau berpendapat bahawa UK perlu ketepikan (kepentingan) parti. Dia adakan satu National Government termasuk parti Buruh dan juga Konservatif.

“Di Amerika pun kadangkala mereka mengamalkan Bipartisan di mana parti Demokrat dan Republikan bersetuju dalam satu perkata contohnya dalam hal pertahanan yang mana keputusan akan melibatkan pendapat dari kedua-dua belah pihak.”

Tun M berkata demikian ketika disoal mengenai pandangan beliau tentang definisi sebenar kerajaan perpaduan.

Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini ada mengajak Perikatan Nasional (PN) untuk mendukung kerajaan perpaduan seperti yang dicadangkan Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas mengangkat sumpah jawatan sebagai PM10.

Namun keputusan PN yang mahu kekal sebagai pembangkang bagi memainkan peranan semak dan imbang menyebabkan segelintir pihak tertanya-tanya dan berdebat apakah status Kerajaan Persekutuan yang dipimpin Perdana Menteri pada waktu ini.

Ada juga yang merasakan titah ‘Kerajaan Perpaduan’ yang dimaksudkan Seri Paduka Baginda adalah kerajaan gabungan selepas berlakunya ‘hung parliament’ pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Baca artikel berkaitan:

Kerajaan Perpaduan Terdiri Daripada PH, BN dan GPS – Anwar Ibrahim

Agong Cadang Tubuh Kerajaan Perpaduan Bersama PH, Tapi PN Tak Setuju – Muhyiddin [Video]

Sebagai rekod, Tun M sewaktu menjadi Perdana Menteri Interim pada 2020 ada mencadangkan penubuhan kerajaan yang hampir sama iaitu tidak memihak kepada mana-mana parti, sekiranya ia dipersetujui.

Cadangan dari negarawan itu timbul di saat keadaan politik negara yang agak kucar-kacir selepas kejatuhan kerajaan PH yang dipimpin beliau ekoran dari keputusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan beberapa pemimpin PKR yang diketuai Datuk Seri Azmin Ali keluar dari gabungan itu.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.