fbpx
Now Reading
Anwar Saman Muhyiddin Berhubung Dakwaan Terima Gaji RM15 Juta Sebagai Penasihat Ekonomi Selangor

Anwar Saman Muhyiddin Berhubung Dakwaan Terima Gaji RM15 Juta Sebagai Penasihat Ekonomi Selangor

Menurut Anwar Ibrahim, kenyataan fitnah itu antaranya membawa maksud beliau seorang yang tidak boleh dipercayai dan tidak jujur.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan saman terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai ucapan berbaur fitnah berhubung dakwaan beliau menerima gaji sebanyak RM15 juta semasa berkhidmat sebagai Penasihat Ekonomi Selangor.

Tuntutan saman tersebut difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini (20 Disember) menerusi firma guaman, Tetuan S. N. Nair & Partners.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Anwar Ibrahim mendakwa bahawa Muhyiddin telah mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah semasa memberi ucapan di ‘Grand Finale Perikatan Nasional Padang Serai’ di Taman Selasih, Kulim sewaktu kempen PRU15 pada 5 Disember lalu.

Ucapan berbaur fitnah diterbitkan semula di sosial media dan portal

Anwar Ibrahim mendakwa, ucapan dalam ceramah itu telah diterbitkan atau menyebabkan penerbitan semula di dalam akaun TikTok @beritakini8 yang telah mendapat tontonan melebihi 1.1 juta.

Dakwanya lagi, kenyataan fitnah itu telah dipetik oleh MalaysiaKini dan ia diterbitkan menerusi artikel yang bertajuk “MB’s aide to Muhyiddin: Anwar paid RM1 as S’gor economic adviser” pada 7 Disember lalu.

Kenyataan fitnah membawa maksud beliau tidak boleh dipercayai

Menurutnya lagi, kenyataan fitnah itu antaranya membawa maksud beliau seorang yang tidak boleh dipercayai dan tidak jujur mengenai penerimaan gaji bernilai jutaan ringgit daripada Kerajaan Selangor sebagai Penasihat Ekonomi.

Selain itu, kenyataan yang didakwa fitnah itu juga menyatakan beliau menipu orang ramai dengan menyatakan bahawa beliau telah menerima RM1 sebagai gaji untuk berkhidmat sebagai Penasihat Ekonomi.

Anwar Ibrahim dakwa kenyataan fitnah sudah dirancang

Pengerusi Pakatan Harapan itu juga mendakwa kenyataan-kenyataan fitnah tersebut telah dirancang terlebih dahulu untuk tujuan memperlekehkan, memfitnah reputasi serta memburukkan nama baik dan karakternya yang merupakan seorang penyokong teguh kedaulatan undang-undang serta reformasi sosial.

“Dalam memberi kenyataan dalam ucapan itu, jelas defendan berniat jahat dengan tidak mengendahkan jawapan rasmi bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri (Abdul) Khalid Ibrahim semasa persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor pada 27 Mac lepas, yang beliau (Khalid) telah menyatakan secara jelas bahawa gaji saya sebagai Penasihat Ekonomi Negeri Selangor hanyalah jumlah simbolik RM1,” dakwa plaintif dalam pernyataan tuntutan itu.

Muhyiddin enggan mohon maaf dan tarik balik kenyataan

Tambah Anwar Ibrahim, beliau juga mendakwa Muhyiddin enggan memohon maaf dan menarik balik kenyataan tersebut, malah terus menerbitkan dan tidak memadamkannya sehinggi kini

Susulan itu, beliau menuntut Muhyiddin ganti rugi seperti ganti rugi am, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan, ganti rugi pampasan dan selain perintah injunksi untuk menghalangnya daripada terus menerbitkan atau mengedar kenyataan fitnah sedemikian.

Peguam Datuk S.N. Nair, yang mewakili Anwar, ketika dihubungi Bernama berkata saman itu difailkan pada 10.30 pagi tadi.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.