Baru-baru ini, kumpulan pop wanita terkenal Dolla mendakwa telah ditahan tiga individu yang didakwa menyamar sebagai polis.
Dolla menerusi bebenang di Twitter mendakwa insiden tersebut berlaku pada 20 Disember lalu sewaktu mereka sedang menunggu kenderaan untuk pulang ke rumah sebaik selesai menjalankan sesi latihan menari sekitar jam 11.30pm.
Terbaharu Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan dakwaan wakil Dolla yang mereka telah ditahan 3 individu yang menyamar sebagai anggota polis.
Sebaliknya ketiga-tiga individu berkenaan adalah anggota polis sebenar dan mereka sedang menjalankan tugasan pemantauan dan rondaan cegah jenayah.
Menurut Ketua Polis Daerah Serdang ACP A A Anbalagan, sewaktu insiden berlaku tiga anggota polis itu sedang memantau kegiatan ops pusat hiburan dan rondaan cegah jenayah di kawasan pentadbiran Puchong Jaya.
“Mereka telah memperkenalkan diri sebagai polis dan menunjukkan kad kuasa sebelum meminta kad pengenalan empat wanita terbabit untuk membuat semakan rekod jenayah.”
Buat keputusan periksa selepas Dolla dalam keadaan mencurigakan
Jelas beliau lagi, tindakan tersebut diambil selepas mereka mendapati empat wanita itu (Dolla) berada dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan pada 11.30 malam.
“Mereka kemudian dibenarkan beredar dari lokasi selepas pemeriksaan polis tidak menemui sebarang kesalahan dilakukan,” katanya.