Jumlah sebenar mangsa tanah runtuh di tapak perkhemahan di Jalan Batang Kali-Genting Highlands adalah 92 orang dan bukannya 94 orang seperti yang diberitahu sebelum ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed mengesahkan perkara tersebut dalam satu sidang media sekitar pukul 5.45 petang semalam (22 Disember).
Menurutnya, sejak operasi mula dijalankan, pihak polis telah mengumumkan jumlah mangsa keseluruhan yang hilang adalah 94 orang sama ada selamat atau meninggal dunia.
Jumlah baharu 92 orang, hanya lagi seorang mangsa yang masih belum ditemui
“Namun setelah kita membuat semakan beberapa kali dengan laporan polis waris mangsa dan daftar masuk pelanggan Fathers Organic Farm, kita mendapati jumlah keseluruhan mangsa terlibat adalah 92 orang.
“Seramai 30 mangsa telah disahkan maut, manakala 61 orang selamat, menjadikan seorang sahaja lagi mangsa yang masih belum ditemui,” katanya kepada media.
Kekeliruan jumlah terjadi kerana daftar masuk pelanggan bertindih
Kata Arjunaidi, kekeliruan jumlah sebenar mangsa yang terlibat terjadi kerana ada daftar masuk pelanggan Father Organic Farm yang bertindih pada hari kejadian.
Tegas beliau, jumlah keseluruhan mangsa akan berubah lagi jika terdapat ahli keluarga mangsa yang tampil untuk membuat laporan.
Dalam masa sama, Junaidi memberitahu operasi pada petang ini ditangguhkan atas faktor cuaca yang buruk.