fbpx

Lelaki Pukul Anak OKU Kekasih Hingga Mati Sebelum Buang Mayat Ke Dalam Semak Di Sarawak

Menurut Ketua Polis Daerah Bau, suspek mengakui memukul mangsa hingga tidak bernyawa, sebelum membuang mayatnya di kawasan semak di Kampung Keranji.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Pukul, bunuh, sumbat dalam guni dan buang ke kawasan semak, itulah tindakan tidak berperikemanusian yang dipercayai dilakukan seorang lelaki di Sarawak terhadap anak perempuan kekasihnya yang berusia enam tahun baru-baru ini.

Mayat mangsa yang juga orang kurang upaya (OKU) itu ditemui di dalam guni di Kampung Keranji, Bau, selepas suspek yang ditahan membawa pihak polis ke lokasi tersebut.

Menurut Ketua Polis Daerah Bau, DSP Poge Nyaon, suspek sebelum itu ditahan di sebuah premis menjual kereta di Jalan Laksamana Cheng Ho, Kuching pada hari sama bagi membantu siasatan kehilangan mangsa.

Suspek ditahan berikutan laporan ibu mangsa dan orang awam

Penahanan suspek dilakukan berikutan laporan polis yang dibuat ibu mangsa pada 21 Disember yang lalu tentang kehilangan anaknya.

Difahamkan, pada hari wanita berkenaan membuat laporan, polis juga menerima laporan awal dari orang awam mengenai seorang wanita dan anak perempuannya yang enggan pulang ke rumah kerana takut dipukul oleh lelakinya.

Suspek mengaku pukul mangsa hingga mati dan buang mayatnya

Menurut Poge, berdasarkan soal siasat yang dijalankan terhadap suspek, lelaki terbabit mengakui memukul mangsa hingga mati dan membuang mayatnya di kawasan semak di Kampung Keranji.

“Pada jam 6.45 petang (Rabu), suspek menunjukkan kepada polis tempat mayat kanak-kanak malang itu dibuang,” katanya.

Ibu mangsa dibawa ke lokasi kejadian bagi proses pengecaman mayat

Jelasnya lagi, setelah mendapat maklumat lokasi mayat, pihak polis turut membawa ibu mangsa ke tempat kejadian bagi tujuan pengecaman mayat anaknya itu berdasarkan pakaian dan anak patung yang dipegang mangsa.

Ujar Poge, suspek dipercayai telah membunuh mangsa kira-kira lima hari sebelum laporan polis itu dibuat.

“Sehubungan itu, polis turut menahan ibu mangsa untuk membantu siasatan.”

Sementara itu, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Umum Sarawak bagi tujuan bedah siasat serta kes tersebut diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.