PDRM Siasat Anggota Polis Benarkan Orang Awam Pegang Senjata Api, Siap ‘Posing’ Ambil Gambar
Tindakan anggota polis itu membenarkan orang awam memegang senjata api ketika sedang bertugas merupakan satu kesalahan dan melanggar tatakelakuan polis.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Menjadi seorang anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) bukannya mudah, selain tanggungjawab menjaga keselamatan orang awam, mereka juga memegang amanah yang telah diberikan kepada mereka.
Pasti ada tatacara sebagai seorang anggota yang harus diikuti termasuk tidak sewenang-wenangnya membenarkan rakan, saudara terdekat mahupun ahli keluarga memegang senjata api yang dimiliki.
Polis benarkan rakan pegang senjata api siap ‘posing’ bergambar
Seperti baru-baru ini, tular di media sosial gambar seorang lelaki yang ‘berposing’ sakan sambil memegang senjata api milik rakannya seorang anggota polis dipercayai di Johor.
Pada gambar sama, kelihatan anggota terbabit yang sedang lengkap berpakaian uniform polis turut bergambar sambil menghisap rokok.
Pihak polis sedang mengesan anggota terbabit
Susulan penularan gambar tersebut, pihak polis sedang mengesan anggota polis terbabit yang membenarkan rakannya yang juga orang awam memegang dan bergambar dengan senjata api.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, hasil siasatan mendapati lelaki berpakaian seragam polis itu adalah anggota yang bertugas di Balai Polis Taman Johor Jaya.
“Lelaki awam yang memegang senjata api jenis HK-MP5 adalah rakan kepada anggota tersebut, gambar berkenaan telah diambil pada 11 Januari 2023 pada jam 2.43 pagi di hadapan balai polis itu.
“Ketika gambar itu diambil, anggota polis berkenaan sedang bertugas membuat pengawalan di Pos Pengawal Balai Polis terbabit,” katanya dalam kenyataan media semalam (12 Januari).
Tujuan gambar diambil sebagai kenang-kenangan, namun ia tetap satu kesalahan
Menurutnya, tujuan gambar tersebut diambil oleh mereka sebagai kenang-kenangan, namun ia telah dimuat naik ke media sosial.
Jelasnya lagi, tindakan anggota polis itu membenarkan orang awam memegang senjata api ketika sedang bertugas merupakan satu kesalahan dan melanggar tatakelakuan polis.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard (BIPS) Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam. Anggota itu boleh dikenakan tindakan di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993,” katanya lagi.
Tular di Twitter polis hisap rokok sambil bagi rakan pegang senjata api
Terdahulu, tular di laman Twitter akaun @evvok gambar seorang lelaki berpakaian uniform polis sedang menghisap rokok bersama seorang orang awam yang sedang memegang senjata api.
Satu lagi gambar menunjukkan orang awam itu membuat gaya seperti mengacukan senjata api berkenaan ke arah anggota polis terbabit.
Bagaimanapun, kemas kini mendapati hantaran gambar tersebut telahpun dipadam oleh akaun Twitter terbabit.