Had laju bagi semua Jalan Persekutuan di seluruh negara akan dikurangkan sebanyak 10km/j bermula esok, 18 Januari bersempena dengan Sambutan Tahun Baru Cina.
Menurut Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, pengurangan secara sementara itu akan berterusan dari 18 hingga 27 Januari susulan Ops Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena perayaan Tahun Baharu Cina Peringkat Kebangsaan.
Beliau menerusi satu ciapan di Twitter berkata, pengurangan ini sekaligus menjadikan had laju di semua Jalan Persekutuan akan turun dari 90km/j kepada 80km/j.
Memetik laporan Awani, keputusan itu diambil sebagai salah satu langkah keselamatan dan pemantauan demi meningkatkan keselamatan.
Ia juga sebagai usaha kerajaan untuk mengurangkan risiko kemalangan jalan raya yang kerap kali berlaku di musim perayaan.
“Justeru itu, Kementerian Kerja Raya turut bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil langkah-langkah awal mengadakan program pemantauan jalan raya secara berterusan,” katanya sewaktu Majlis Pelancaran Ops Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena perayaan Tahun Baharu Cina Peringkat Kebangsaan di kawasan Rehat & Rawat Dengkil (Arah Utara) pada pagi Selasa, 17 Januari.
Ops Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya Peringkat Kebangsaan ini akan melibatkan pelbagai agensi di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) antaranya Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ); Jabatan Kerja Raja (JKR); Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM); dan PLUS Malaysia.
Difahamkan Ia akan bermula dari 18 hingga 28 Januari ini.