fbpx
Now Reading
Asia Digital Engineering (ADE) Lancar MRO Terbaharu Di Senai, Johor Bahru

Asia Digital Engineering (ADE) Lancar MRO Terbaharu Di Senai, Johor Bahru

Ia merupakan kemudahan MRO pertama di Taman Penerbangan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai dan kemudahan MRO ketiga ADE.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Asia Digital Engineering (ADE), cabang kejuruteraan Capital A (dahulunya dikenali sebagai AirAsia Group Berhad) telah melancarkan kemudahan Penyelenggaraan, Pembaikan dan Baik pulih (MRO) baharunya di Senai, Johor Bahru.

Pelancaran ini mengukuhkan lagi misinya untuk menawarkan perkhidmatan MRO bernilai terbaik dengan kecekapan tinggi untuk rantau ini.

Hangar seluas 5,000 meter persegi tersebut dibina di atas kawasan seluas 107.4 ekar di Zon Perindustrian Bebas Lapangan Terbang Senai (SAFIZ).

Sumber: Siti Murni/BuzzKini

Ia merupakan kemudahan MRO pertama di Taman Penerbangan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai dan kemudahan MRO ketiga ADE.

Dengan lebih 20 tahun pengalaman kejuruteraan yang menawarkan perkhidmatan kepada syarikat penerbangan tambang rendah terbaik dunia AirAsia, ADE kini bersedia untuk menawarkan perkhidmatan terbaiknya kepada semua.

Ini termasuk sokongan komponen, penyelenggaraan talian dan penyelenggaraan pangkalan pelbagai model pesawat, seperti Airbus A320, A330 dan rangkaian pesawat Airbus lain dengan perancangan untuk mengembangkan kapasiti perkhidmatan kepada pesawat jenis lain pada masa hadapan.


Majlis Perasmian MRO Dihadiri Oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ)

Majlis pelancaran hari ini telah dirasmikan oleh Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.

Sumber: Siti Murni/BuzzKini
Selain itu, pegawai utama kerajaan negeri termasuk Menteri Besar Johor, YAB Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, YB Tan Sri Dato’ Dr Haji Azmi Bin Rohani turut hadir pada majlis tersebut.

Pertama sekali, kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor kerana sudi hadir mencemar duli pada majlis kami pada hari ini, dan atas perkenannya menyempurnakan pelancaran kemudahan penyelenggaraan pertama kami di Senai, Johor Bahru. Kami yakin Johor adalah sebuah negeri yang menawarkan pelbagai peluang keemasan dan merupakan aset berharga kepada pembangunan ekonomi Malaysia. Pelancaran kemudahan ini akan mengembangkan lagi kehadiran ADE dalam sektor kejuruteraan pesawat di Asia Pasifik.

Tan Sri Tony Fernandes, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A.

Tony dalam masa yang sama turut menyatakan bahawa beliau yakin Johor adalah sebuah negeri yang menawarkan pelbagai peluang keemasan dan merupakan aset berharga kepada pembangunan ekonomi Malaysia.

Sumber: Siti Murni/BuzzKini

Malah, tambahnya lagi, pelancaran kemudahan ini akan mengembangkan lagi kehadiran ADE dalam sektor kejuruteraan pesawat di Asia Pasifik.

Kami berbangga kerana ADE menempa satu lagi kejayaan hari ini dalam memacu dan mengubah perkhidmatan MRO dengan ketara, sama seperti bagaimana AirAsia mencipta pasaran baharu untuk sektor perjalanan lebih 20 tahun lalu. Sebahagian besar kejayaan AirAsia adalah kerana usaha penyelenggaraan dan kecekapan tinggi ADE. Justeru, semua pesawat kami diselenggara oleh mereka seterusnya mengurangkan kos untuk syarikat penerbangan kami dan sekali gus menurunkan tambang kepada para tetamu.

Tan Sri Tony Fernandes, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A.

Tony seterusnya berkata bahawa ekosistem digital Capital A yang didorong oleh data raya membolehkan ADE mendapat manfaat menggunakan sains data untuk meningkatkan kecekapan, kebolehpercayaan dan produktiviti.

Beliau juga yakin bahawa sebagai sebuah syarikat kejuruteraan abad ke-21 yang didorong oleh data raya, ADE akan meletakkan Johor dan Malaysia sebagai penyedia MRO terkemuka dunia untuk AirAsia dan syarikat penerbangan pihak ketiga di rantau ini.


Pelancaran MRO Di Senai Adalah Kejayaan Buat ADE

Sumber: Siti Murni/BuzzKini

Sementara itu, Mahesh Kumar selaku Ketua Pegawai Eksekutif ADE berkata, “Pelancaran kemudahan penyelenggaraan pesawat di Senai merupakan satu kejayaan bagi ADE untuk memulakan tahun ini. Kami berbangga untuk menyumbang kepada pertumbuhan sektor penyelenggaraan aeroangkasa Malaysia, terutamanya di zon pembangunan strategik seperti Johor.

“Lapangan Terbang Antarabangsa Senai berada di kawasan strategik untuk memberikan akses mudah ke negara-negara yang berkembang pesat di Asia Pasifik. Selain itu, Perkhidmatan Terminal Lapangan Terbang Senai (SATS) telah membangunkan pelan induk 20 tahun yang komprehensif untuk mengubah Lapangan Terbang Antarabangsa Senai dan kawasan sekitarnya kepada sebuah bandar lapangan terbang bertaraf dunia.

“ADE melihat pembangunan ini sebagai peluang keemasan untuk mengembangkan kehadiran dan kepakaran kami dalam sektor MRO, terutamanya dalam membawa lebih banyak pelaburan asing ke negeri dan negara ini melalui industri aeroangkasa.

“Sejajar dengan visi ADE untuk memupuk bakat dan komuniti, kami juga akan mengembangkan fungsi kemudahan ini sebagai pusat latihan untuk ahli profesional penerbangan dan pelajar kejuruteraan aeroangkasa di seluruh negara dan rantau ini. Kami percaya pelaburan kepada kakitangan kami dan komuniti adalah cara terbaik untuk mengembangkan syarikat ini.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan kongsi kami atas sokongan mereka. ADE bakal berkembang pesat sejajar dengan peningkatan permintaan perkhidmatan MRO di Asean dan seterusnya dan kami akan berusaha untuk menjadi peneraju industri sektor ini,” jelas Mahesh.


Kemudahan ADE Tawar Khidmat Strategik Kepada Pesawat Komersial AirAsia

Kemudahan baharu ADE menawarkan perkhidmatan strategik kepada pesawat komersial AirAsia yang semakin berkembang dan syarikat penerbangan pihak ketiga yang lain, kemudahan canggih baharu ini memanfaatkan salah satu zon pembangunan terpenting di Malaysia iaitu Negeri Johor.

Berikutan pelancaran kemudahan ini, ADE bakal menawarkan perkhidmatan kepada negara-negara yang membangun dari segi ekonomi di rantau ini. Ia juga akan mengembangkan lagi kehadiran dan perkhidmatannya dalam industri MRO di rantau Asia Pasifik, seterusnya menyumbang secara besar-besaran kepada pertumbuhan industri penerbangan.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.