fbpx
Now Reading
Tular Penampakan Harimau Di Tanjung Malim, PERHILITAN Perak Sahkan Terima Aduan [Video]

Tular Penampakan Harimau Di Tanjung Malim, PERHILITAN Perak Sahkan Terima Aduan [Video]

Menurut Pengarah Perhilitan Perak, kemungkinan binatang buas yang dilihat di CCTV itu adalah daripada spesis harimau bintang.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Baru-baru ini, tular di media sosial satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan kelibat seekor harimau di Taman Bernam Baru, Tanjung Malim.

Menerusi perkongsian video di laman Facebook Tanjong Malim Kini Group, kejadian tersebut dikatakan berlaku sekitar jam 11.39 malam pada Isnin lalu (23 November).

“Taman Bernam Baru berjaya merakamkan pergerakkan seekor binatang buas di percayai seekor harimau belang.

“Para ahli qariah diminta berhati-hati dan menjaga keselamatan terutamanya ahli qariah dari Taman Bernam Perdana dan juga Taman Segar,” tulisnya di kapsyen.

rakaman CCTV kelibat harimau (Foto: Facebook/Muhammad Khairul Anuar)

Perhilitan Perak sahkan terima aduan kelibat harimau

Susulan itu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Perak mengesahkan pihaknya ada menerima aduan mengenai kelibat harimau yang tular itu.

Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, aduan diterima daripada seorang lelaki yang merupakan penduduk kawasan itu.

Siasatan sedang dijalankan, orang ramai diminta berhati-hati

Menurutnya, lelaki terbabit mendakwa melihat haiwan berkenaan berhampiran rumahnya dan pihak Perhilitan sedang menjalankan siasatan lanjut.

“Orang ramai diminta berhati-hati dan jangan melakukan provokasi sekiranya terserempak dengan haiwan itu. Elakkan masuk ke kawasan hutan, kerana di dalam rekod kita sememangnya ada harimau di dalam Hutan Simpan Tapah yang terletak berhampiran.

“Kita sedang memantau kawasan sekitar dan akan menghantar haiwan itu ke tempat asal sekirannya berjaya menemuinya,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Kemungkinan spesis harimau bintang

Pada masa sama, menurut laporan Kosmo, Yusoff berkata kemungkinan binatang buas yang dilihat menerusi rakaman CCTV itu adalah daripada spesis harimau bintang.

“Kakitangan kami dah pergi siasat, kalau tengok video itu macam ‘clouded leopard’ (harimau bintang). Kami akan pantau lagi,” katanya.

Pihak polis juga menerima aduan, namun tidak dapat mengenal pasti jenis harimau

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muallim Superitenden Mohd Hasni Mohd Nasir berkata, pihaknya juga menerima aduan pada kira-kira pukul 6 petang kelmarin, namun tidak dapat mengenal pasti jenis harimau dan lokasinya ketika ini.

Jelasnya, pihak polis telah dihantar ke lokasi kejadian namun tiada tangkapan yang dilakukan selain pihak Perhilitan juga sedang mengambil tindakan.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.