Muhyiddin Yassin Umumkan Kabinet Bayangan PN
Berdasarkan Jawatankuasa Portfolio itu, Muhyiddin memegang jawatan sebagai Ketua Ahli Parlimen manakala Abdul Hadi sebagai timbalannya.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Perikatan Nasional (PN) telah mengumumkan barisan ‘kabinet bayangan’ mereka yang akan menyelaraskan pengurusan parti gabungan itu di Parlimen sebagai pihak pembangkang.
Perkara itu diumumkan oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas berakhir Pemukiman Ahli Parlimen parti tersebut pada hari ini (2 Februari).
Kata Muhyiddin, PN bersetuju dengan cadangan Sekretariat Ahli Parlimen PN agar diwujudkan Jawatankuasa Portfolio Ahli Parlimen.
“Jawatankuasa Portfolio pembangkang ini diberikan kepada Ahli Parlimen kita yang ada kemahiran dan pengalaman dalam kerajaan serta latar belakang yang lalu dalam bidang masing-masing,” katanya dalam sidang media selepas penutupan Pemukiman Ahli Parlimen PN.
Muhyiddin sandang jawatan Ketua Ahli Parlimen, Abdul Hadi timbalannya
Berdasarkan Jawatankuasa Portfolio itu, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh memegang jawatan sebagai Ketua Ahli Parlimen manakala Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebagai timbalannya.
Manakala Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainuddin kekal sebagai Ketua Pembangkan.
Selain itu, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengetuai portfolio untuk Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, sementara Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin diberikan tugas penting iaitu portfolio kewangan dan ekonomi.
Hamzah dalam satu kenyataan di Facebook berkata, PN membuat akujanji untuk menjadi pembangkang yang bertanggungjawab, berkesan, efektif, berwibawa serta berintegriti tinggi.
“Portfolio ini adalah tanggungjawab berkumpulan. Ketua-Ketua Portfolio akan dibantu oleh Ahli Jawatankuasa Portfolio yang terdiri daripada Ahli-Ahli Parlimen Perikatan Nasional yang lain.
“Perikatan Nasional yakin dengan pengalaman serta komitmen kesemua Ahli-Ahli Parlimen Perikatan Nasional ini, yang akan melangkah secara sederap sebagai sebuah pasukan, tugas kami untuk melakukan check and balance, benar-benar kukuh dan ampuh.”
Senarai Jawatankuasa Portfolio ahli dewan rakyat PN
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan: Datuk Seri Dr Ronald Kiandee
Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama): Datuk Idris Ahmad
Kementerian Dalam Negeri: Datuk Seri Takiyuddin Hassan
Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi: Datuk Seri Saifuddin Abdullah
Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah: Datuk Seri Dr Shahidan Kassim
Kementerian Belia dan Sukan: Ahmad Fadhli Shaari
Kementerian Luar Negeri: Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal
Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi): Datuk Mas Ermiryati Samsudin
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup: Datuk Rosol Wahid
Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas): Datuk Ali Anak Biju
Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi: Datuk Muslimin Yahaya
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat: Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff
Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan: Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya: Datuk Mohd Suhaimi Abdullah
Kementerian Pertahanan: Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz
Kementerian Sumber Manusia: Datuk Awang Hashim