Seorang pegawai perubatan yang juga doktor di sebuah hospital di Kemaman, Terengganu telah ditahan untuk membantu siasatan berhubung kes cabul melibatkan kanak-kanak berumur 12 tahun.
Memetik laporan Harian Metro, Majistret Sharifah Amirda Shaha Amir Shariffuddin kemudian telah mengeluarkan perintah reman terhadap lelaki berumur 30 tahun itu selepas dia dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kemaman, Terengganu.
Pengamal perubatan direman hingga Khamis depan
Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa menyatakan pihaknya menerima perintah bahawa suspek direman sehingga 16 Februari ini.
Jelasnya, tangkapan terhadap doktor tersebut telah dilakukan jam 1.50 tengah hari, semalam (9 Februari).
“Kejadian itu berlaku ketika mangsa menerima rawatan di wad kanak-kanak hospital terbabit akibat diabetes.
“Kanak-kanak perempuan terbabit menceritakan kejadian itu kepada ibunya kira-kira jam 6 petang bahawa suspek yang merawatnya membuka baju dan meraba dada mangsa serta pegawai perubatan terbabit turut merakam gambar mangsa melalui telefon bimbit,” ujarnya.
Polis percaya ramai lagi yang dah jadi mangsa
Menurut beliau, ibu mangsa kemudiannya membuat laporan di Ibu Pejabat Daerah Kemaman jam 9 malam pada 8 Februari lalu.
“Polis telah membuat tangkapan ke atas suspek serta merampas telefon bimbit untuk siasatan lanjut.
“Kita percaya terdapat lagi mangsa lain berdasarkan penemuan awal terhadap beberapa gambar lain di dalam telefon bimbit suspek,” maklumnya.
Tambah Rohaimi lagi, siasatan lanjut bakal dilakukan dan ini termasuklah mengambil rakaman percakapan saksi lain tentang kes tersebut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” ujarnya.