fbpx
Now Reading
Gempa Bumi: MINDEF Hantar Doktor, Paramedik & Anggota ATM Wujudkan Hospital Medan Di Turkiye
MINDEF hntr doktor, paramedik dan ATM ke Turkiye

Gempa Bumi: MINDEF Hantar Doktor, Paramedik & Anggota ATM Wujudkan Hospital Medan Di Turkiye

Jelas Tok Mat, sebanyak tiga unit tingkat 1 dan satu unit tingkat dua hospital medan akan dihantar ke Turkiye bersama dengan doktor, paramedik dan anggota ATM.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Pada 6 Februari yang lalu, sekitar 70 orang anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) telah diterbangkan ke Turkiye bagi misi mencari dan menyelamat (SAR) selepas negara itu dilanda gempa bumi yang mengorbankan ribuan nyawa.

Malah Malaysia turut menghantar 70 lagi anggota yang terdiri daripada 20 anggota SMART, 30 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan 20 Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk bersama dalam misi tersebut pada 8 Februari lepas.

Baca artikel berkaitan: 70 Lagi Anggota Smart Bersama Dentie & Frankie Dari Unit K9 Diterbangkan Ke Turkiye Untuk Sertai Misi SAR

MINDEF hantar pasukan doktor, paramedik dan anggota ATM wujudkan hospital medan

Terbaharu, Kementerian Pertahanan (MINDEF) telah menghantar pasukan doktor, paramedik serta anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke negara tersebut untuk mewujudkan hospital medan di Turkiye.

Memetik laporan Berita Harian, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan menyatakan pasukan itu berangkat dari Malaysia ke Turkiye pada awal pagi hari ini (10 Februari).

Sudah mendapat permohonan dari NADMA

Jelasnya, permohonan dari pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah pun dimiliki oleh ATM selepas rundingan bersama Kedutaan Besar di Kuala Lumpur dibuat.

“Kita telah pun menggerakkan kor kesihatan ATM untuk menghantar sepasukan anggota bersama hospital medan yang mana kita hantar tiga unit bagi tingkat satu (level 1) satu unit bagi tingkat dua (level 2).

“Bagi tingkat satu ini ada bilik kecemasan dan tingkat dua ada bilik bedah. Selain itu, Panglima Tentera Darat juga memaklumkan saya pihak Turkiye dan NADMA juga memohon agar kita menghantar 60 anggota mencari dan meyelamat kita untuk membantu,” ujarnya.

Menerusi satu hantaran yang dimuat naik oleh ATM di Facebook, pasukan tersebut yang terdiri 36 pegawai dan anggota berserta dengan peralatan Hospital Medan seberat 44 Tan sudah pun berlepas dari Pangkalan Udara Subang pada jam 3 pagi.

“Keseluruhan 106 pegawai dan anggota ATM diketuai oleh Brigedier Jeneral Dato’ (Dr) Amran bin Amir Hamzah sebagai Pemerintah Operasi, diterbangkan ke Turkiye dengan 3 fasa penghantaran bermula 10 Februari 2023 menggunakan pesawat A400 dan pesawat komersil,” kata ATM dalam satu kenyataan.

Diterbangkan menggunakan Airbus A-400M milik TUDM

Tok Mat sebelum ini memaklumkan bahawa pasukan serta hospital medan berkenaan akan dihantar ke Turkiye dengan menaiki pesawat Airbus A-400M yang dimiliki oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

“Kita belum tahu kawasan mana mempunyai keperluan untuk kita pergi kerana kawasan yang terbabit itu terlalu luas.

“Maka kita serahkan kepada pihak negara Turkiye untuk meletakkan di mana kesesuaian anggota perubatan kita untuk membina dan mengurus hospital medan,” jelas Tok Mat.

Berada di Turkiye selama 6 minggu

Ujar menteri itu, seluruh pasukan serta anggota ATM berkenaan berkemungkinan berada di negara tersebut selama enam minggu.

“Kita ke sana seolah-olah ke medan perang, kita mesti bawa peralatan, bekalan dan sebagainya.

“Kita tidak boleh mengharapkan tuan rumah (Turkiye) kerana tuan rumah dalam keadaan malapetaka.

“Jadi, kita doakan supaya anggota kita yang menjalankan tugas membantu merawat yang cedera dan ditimpa kemalangan dalam keadaan selamat,” ujarnya.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.