Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami!
Follow Kami
Mesyuarat Kerja Tertinggi Umno (MKT) semalam, 16 Februari bersetuju membatalkan pemecatan Datuk Lokman Noor Adam sebagai ahli MKT UMNO.
Perkara tersebut disahkan sendiri oleh Lokman menerusi satu kenyataan di Facebook miliknya.
“Alhamdulillah, baru terima panggilan daripada Dato Seri Utama Mohamad Hasan, timbalan presiden Umno yang memaklumkan bahawa MKT UMNO malam ini (16 Feb) telah membatalkan pemecatan saya.
“Kini saya kembali sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno.
“Terima kasih presiden, timbalan presiden, ahli MKT dan semua yang mendoakan saya,” tulisnya di Facebook.
Menerusi hantaran sama, Lokman turut memuat naik surat pembatalan pemecatan yang ditandatangani Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan bertarikh 16 Februari.
Dia turut menegaskan pembatalan itu sekaligus mengembalikan hak beliau untuk bertanding dalam pemilihan parti pada tahun ini.
“Dengan pembatalan ini, hak saya untuk bertanding dalam pemilihan kali ini telah dikembalikan, Alhamdulillah,” tulisnya lagi.
Terdahulu, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Zahid Hamidi turut melantik Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz sebagai Ahli MKT.
Pelantikan ini dibuat beberapa minggu selepas Tengku Zafrul menawarkan diri untuk bertanding merebut jawatan ahli MKT pada Pemilihan UMNO akan datang.