fbpx
Now Reading
Wan Saiful Mengaku Tidak Bersalah Atas Pertuduhan Rasuah Bernilai RM6.9 Juta Babitkan Projek Jana Wibawa

Wan Saiful Mengaku Tidak Bersalah Atas Pertuduhan Rasuah Bernilai RM6.9 Juta Babitkan Projek Jana Wibawa

Ahli Parlimen Tasik Gelugor itu didakwa menerima suapan RM6.9 juta berhubung inisiatif Jana Wibawa. Selain itu dia juga didakwa meminta satu jumlah yang tidak ditentukan untuk projek jalan raya bernilai RM232 juta.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan hari ini (21 Februari) mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan rasuah berhubung inisiatif Jana Wibawa.

Dia membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azura Alwi.

Ahli Parlimen Tasik Gelugor itu didakwa meminta dan menerima suapan RM6.9 juta berhubung inisiatif Jana Wibawa untuk projek jalan raya bernilai RM232 juta.

“Saya mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan,” katanya ringkas sebaik pertuduhan dibacakan.

Pertuduhan pertama – meminta suapan

Mengikut kertas pertuduhan, bekas pengerusi PTPTN itu didakwa meminta wang suapan daripada Lian Tan Chuan sebagai dorongan untuk membantu Syarikat Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek Central Spine Road Sertik ke Persimpangan Lebuh Raya Pantai Timur daripada Kerajaan Malaysia secara Pra-Kelayakan di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana, April tahun lalu.

Jumlah keseluruhan bagi projek tersebut bernilai RM232,000,000.

Sehubungan itu dia didakwa di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 Akta 694 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta sama yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan.

Pertuduhan kedua – menerima suapan

Bagi pertuduhan kedua, Wan Saiful secara rasuah menerima bagi dirinya suatu suapan, iaitu wang tunai berjumlah RM6,962,694 menerusi akaun bank milik syarikatnya iaitu WSA Advisory Group Sdn Bhd.

Kesalahan tersebut didakwa berlaku pada 08 Julai 2022 hingga 30 September 2022 di CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku, J2 & K1, Taman Tunku, Bukit Tunku, Kuala Lumpur.

Mahkamah arah pasport Wan Saiful diambil, perlu lapor diri pada SPRM dua bulan sekali

Mahkamah kemudiannya mengarahkan Wan Saiful untuk menyerahkan pasport antarabangsa sehingga kes selesai.

Dia dalam masa sama turut diarah melapor diri kepada ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya pada minggu pertama setiap dua bulan.

Azura Alwi turut membenarkan Wan Saiful diikat jamin sebanyak RM400,000 dan kes disebut semula pada 22 Mac 2023.

Sebagai info, Wan Saiful telah ditahan pada Isnin (20 Feb) malam sewaktu hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM.

Selain Wan Saiful, seorang lagi individu yang turut didakwa ialah Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan Muhammad yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.