fbpx
Now Reading
Budak 12 Tahun Maut Terjatuh Dari Tingkat 14 Hotel Di Sabah

Budak 12 Tahun Maut Terjatuh Dari Tingkat 14 Hotel Di Sabah

Menurut jurucakap JBPM, pihak KKM mengesahkan kanak-kanak terbabit telah meninggal dunia di lokasi kejadian.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Seorang kanak-kanak lelaki maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 14 sebuah hotel di Jalan Karamunsing, Kota Kinabalu Sabah pada pagi tadi (27 Januari).

Difahamkan, kanak-kanak berusia 12 tahun itu terjatuh dari tingkat 14 ke beranda di tingkat empat hotel tersebut.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.44 pagi.

BBP dan EMRS dihantar ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan

Menurutnya, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu bersama Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) telah dikerah ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi mangsa kanak-kanak ditemukan terjatuh dari tingkap di tingkat 14 ke beranda tingkat empat bangunan hotel berkenaan.

“Pasukan bomba kemudian menjalankan operasi membawa turun mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

KKM sahkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian

Jelasnya lagi, pihak Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan kanak-kanak terbabit telah meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. Operasi ditamatkan pada jam 7.54 pagi,” ujarnya lagi.

Sementara itu, jurucakap JBPM berkata identiti mangsa masih dalam proses untuk dikenal pasti, lapor Bernama.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.