fbpx
Now Reading
“Mungkin Sudah Sampai Puncak Karier” – Ahmad Maslan Ulas Tindakan Ismail Sabri Tak Pertahan Jawatan Naib Presiden

“Mungkin Sudah Sampai Puncak Karier” – Ahmad Maslan Ulas Tindakan Ismail Sabri Tak Pertahan Jawatan Naib Presiden

Menurut Ahmad Maslan, Ismail Sabri sudah membuat keputusan yang mungkin keputusan besar buat dirinya.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Semalam (27 Februari), bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengesahkan beliau tidak akan mempertahankan jawatan Naib Presiden UMNO yang disandangnya pada pemilihan parti bulan Mac ini.

Menurut Berita Harian, Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata, beliau tidak akan menghantar borang untuk pencalonan bagi merebut jawatan yang digalasnya sejak tahun 2018 itu.

“Betul (tidak pertahan). Tutup pencalonan, saya masih belum hantar,” katanya namun tidak mengulas lanjut sebab keputusan itu diambil.

Namun beliau difahamkan akan terus kekal menjalankan tanggungjawab sebagai Ketua UMNO Bahagian Bera selepas menang tanpa bertanding di kawasan itu.

‘Mungkin beliau sudah sampai puncak karier politik’ – Ahmad Maslan

Mengulas mengenai perkara itu, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, keputusan yang dibuat Ismail Sabri mungkin kerana beliau sudah sampai ke puncak karier politiknya.

“Saya kira beliau tidak mahu bertanding naib presiden mungkin kerana beliau telah sampai ke puncak dalam perjuangan karier politiknya, sehingga jadi perdana menteri. Tak ada lagi (jawatan lebih tinggi) atas daripada itu (perdana menteri).

“Beliau kini (sebaris) bersama bekas perdana menteri lain yang ada beberapa orang. Terima kasih atas khidmat beliau selama ini selaku naib presiden (UMNO) dan Perdana Menteri Kesembilan,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini (28 Februari).

Ismail Sabri sudah membuat keputusan besar buat dirinya?

Jelas Ahmad Maslan lagi, Ismail Sabri sudah membuat keputusan yang mungkin keputusan besar buat dirinya.

Sesi pencalonan bagi merebut semua jawatan dalam UMNO kecuali presiden dan timbalan presiden yang dibuka sejak 1 Februari lalu sudah ditutup sejak jam 5.00 petang semalam (27 Feb).

Lapan pemimpin bertanding jawatan naib presiden, namun seorang menarik diri

Terdahulu, terdapat lapan pemimpin yang bertanding bagi jawatan naib presiden termasuk dua penyandang iaitu Datuk Seri Mohammed Khaled Nordin dan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Pemimpin lain ialah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Hasni Mohammad; Ahli MKT, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Menteri dalam Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Pembaharuan Institusi), Azalina Othman Said pula menjadi calon wanita tunggal yang mencabar jawatan nombor tiga parti itu.

Bagaimanapun, Zambri menarik diri daripada bertanding selepas melakukan perbincangan dengan kepimpinan parti selain mengambil kira tugas rasminya sebagai Menteri Luar

Difahamkan, Ahmad Maslan juga akan terus mempertahankan kedudukannya dalam Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.