fbpx
Now Reading
Lelaki Maut Ditikam Peniaga Food Truck Hanya Kerana Minta Makanan

Lelaki Maut Ditikam Peniaga Food Truck Hanya Kerana Minta Makanan

Menurut saksi, mangsa dipercayai seorang yang kurang siuman dan selalu merayau di sekitar pekan Lukut.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Seorang lelaki maut selepas ditikam oleh peniaga Food Truck di sebuah medan selera di Port Dickson pada Rabu (1 Mac) malam.

Dalam kejadian yang berlaku di Medan Selera Lukut itu, mangsa difahamkan telah ditikam dengan menggunakan objek tajam sebelum ditemui dalam keadaan berlumuran darah di kawasan parkir.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson Deputi Superintendan Muhamad Mustafah Hussin, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat dari orang awam.

“Polis bergegas ke tempat kejadian dan mendapati seorang lelaki terbaring di kawasan parkir dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini (2 Mac).

Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian

Jelas beliau, mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia selepas diperiksa oleh Pegawai Perubatan yang tiba pada jam 7.55 malam.

“Mangsa berusia 38 tahun dan mayat dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Tuanku Jaafar, Seremban untuk bedah siasat,” katanya.

Mangsa didakwa kurang siuman, selalu minta makanan dari peniaga

Lebih mengejutkan apabila ada dakwaan yang mengatakan insiden berlaku hanya kerana mangsa meminta makanan.

Menurut Harian Metro yang memetik saksi, mangsa dipercayai seorang yang kurang siuman dan selalu merayau di sekitar pekan Lukut.

“Dia memang selalu minta makanan kepada peniaga di kawasan ini tetapi kali ini dia bernasib malang kerana ditikam dengan menggunakan barang tajam oleh peniaga kenderaan saji atau food truck,” kata saksi yang enggan dikenali.

Tambahnya dia mendapat makluman yang suspek datang daripada Segamat.

“Dia lari dengan Proton Wira berwarna putih sebaik menikam lelaki itu,” katanya lagi.

Sehubungan itu polis kini giat mengesan suspek selain menyiasat motif kejadian.

“Siasatan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Polis memohon kepada orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson untuk membantu siasatan atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson di talian 06-6472222.” 

Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, DSP Muhamad Mustafah Hussin

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.