Polis meminta individu yang mengambil gambar kereta menayang vest polis yang menghalang lalu lintas di Persiaran Brash berhampiran Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz, Ipoh untuk tampil membantu siasatan.
Hal ini susulan tular di media sosial apabila pemandu kereta terbabit memakir kenderaanya secara berlapis (double parked) hingga menghalang lalu lintas.
Tak tinggal nombor telefon tapi tayang vest polis?
Tindakan pemandu yang tidak meninggalkan nombor telefon sebaliknya vest polis di atas papan pemuka (dashboard) kereta itu mendapat pelbagai reaksi daripada orang ramai.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, pemilik akaun yang memuat naik gambar itu boleh menghubungi Deputi Superintendan Koo Boon Kuat di talian 016-4173222.
“Polis sedang mengesan individu yang merakam gambar itu bagi membantu mengenal pasti pemilik kereta berkenaan,” katanya dalam kenyataan.
Polis minta orang ramai jangan buat spekulasi
Yahaya pada masa sama turut meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan perkara tersebut hingga menjejaskan siasatan mahupun menggugat reputasi Polis Diraja Malaysia {PDRM).
Terdahulu tular satu ciapan di laman Twitter apabila sebuah kereta jenis Proton Saga berwarna hitam menayangkan vest polis di atas papan pemuka sambil meletakkan kenderaan itu secara berlapis hingga menghalang lalu lintas di kawasan sekitar.
Berdasarkan semakan kami, ciapan yang tular di laman Twitter itu telah dipadam oleh pemilik akaun.