Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan laporan sebuah portal yang kononnya beliau telah ditangkap di sebuah padang golf.
Beliau menerusi satu hantaran di Facebook pada Rabu malam bagaimanapun mengesahkan akan dipanggil ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memberi keterangan pada pukul 11.00 pagi hari ini (9 Mac).
Menerusi satu hantaran di laman Facebook miliknya, Muhyiddin menafikan dakwaan bahawa beliau telah ditahan SPRM semasa sedang bermain golf pada petang semalam (8 Mac).
“Hari ini (semalam) saya hadir ke beberapa mesyuarat berkaitan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu yang akan bermula Jumaat ini.
“Bagaimanapun, esok (hari ini) Khamis saya diminta ke Ibu pejabat SPRM pada pukul 11 pagi,” katanya di sini tadi.
Tular spekulasi Muhyiddin ditahan oleh SPRM
Terdahulu, kecoh di media sosial mengenai spekulasi kononnya Ahli Parlimen Pagoh itu telah ditahan oleh SPRM pada petang semalam.
Sejak beberapa minggu lalu, khabar angin yang mengatakan Muhyiddin akan didakwa tersebar luas selepas bekas Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan dihadapkan ke mahkamah pada 21 Februari lalu.
SPRM bekukan beberapa akaun milik parti Bersatu
Selain itu, SPRM juga membekukan beberapa akaun milik Bersatu pada akhir bulan lalu kerana dipercayai ada kaitan dengan siasatan agensi itu terhadap dana kerajaan RM92.5 bilion yang didakwa diseleweng oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika melaksanakan pelbagai pakej ransangan susulan pandemik Covid-19.
Pada 18 Februari lalu juga, Muhyiddin berkata beliau dipanggil SPRM untuk memberi keterangan mengenai Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) sebagai saksi dan bukannya suspek.
Bagaimanapun, SPRM kemudiannya mengesahkan Muhyiddin adalah antara suspek yang disiasat berhubung kes berkenaan dan siasatan ke atasnya masih diteruskan.