fbpx

Pelajar Tingkatan 4 Maut Selepas Motosikal Yang Ditunggangi Rempuh Lembu Melintas Jalan

Difahamkan, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan dari Felda Cikhu 3 menuju ke Felda Chiku 2.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Seorang pelajar tingkatan empat maut selepas motosikal yang ditungganginya merempuh seekor lembu di Kilometer 35, Jalan Gua Musang-Krai, Kelantan semalam (9 Mac).

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.35 malam itu, lembu berkenaan didapati secara tiba-tiba melintas jalan sebelum dilanggar oleh mangsa yang dikenali sebagai Mohamad Adam Haikal Mohamad Asri, 16 tahun.

Meninggal dunia ketika merima rawatan akibat cedera parah di kepala

Mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Chiku akibat kecederaan parah di kepala.

Menurut Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Sik Choon Foo, siasatan awal mendapati Muhamad Adam yang berasal dari Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedara Chalil menunggang motosikal dari Felda Cikhu 3 menuju ke Felda Chiku 2.

Menurutnya, semasa di lokasi, mangsa yang sedang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15Z itu tidak sempat mengelak sebelum melanggar lembu berkenaan yang melintas secara mengejut dari arah kanan jalan.

“Keadaan itu menyebabkan mangsa terjatuh di atas jalan dan mengalami cedera parah pada bahagian kepala. Mangsa kemudian dibantu oleh orang awam ke Klinik Kesihatan Chiku 3, namun disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 9.55 malam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini (10 Mac).

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat

Jelasnya lagi, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarga.

Berkongsi lanjut, Choon Foo berkata siasatan di lokasi kejadian juga mendapati lembu berkenaan turut mengalami kecederaan akibat rempuhan terbabit.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.