“Terima Kasih Beri Kepercayan Kepada Saya,” – Yana Najib Menang Exco Puteri UMNO
Menurut Yana Najib, kemenangan itu memberinya motivasi serta tekas untuk berusaha lebih keras serta komited.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Pada 26 Februari lalu, beberapa ahli parti UMNO telah menghantar permohonan untuk pencalonan pemilihan bagi beberapa jawatan seperti Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan juga jawatan di dalam negeri.
Malah selepas borang itu dihantar, segelintir dari mereka telah mula menjalankan kempen untuk mempromosi diri agar diundi oleh ahli parti berkenaan.
Antara pemimpin parti tersebut yang tidak melepaskan peluang untuk turut bertanding adalah Datuk Johari Abdul Ghani, Datuk Seri Ahmad Maslan, Datuk Jalaluddin Alias, Khaidhirah Abu Zahar serta ramai lagi.
Yana Najib ucap terima kasih atas sokongan diberikan
Mengikut jejak langkah seperti bapa, Nooryana Najwa iaitu anak kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengucapkan terima kasih di atas sokongan yang diberikan oleh mereka yang mengundinya bagi jawatan Exco Puteri UMNO Malaysia.
Ujar anak kepada bekas pemimpin negara itu, dia ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan di atas kepercayaan dan keyakinan serta bantuan yang diberikan oleh ahli parti itu sehingga dia berjaya berada di jawatan itu.
Bersyukur kempen semasa bertanding berjalan dengan baik
Menerusi Instagram miliknya, dia yang juga mesra dipanggil Yana memaklumkan bersyukur kerana kempen yang dilakukan semasa tempoh bertanding berjalan dengan baik dan mendapat sokongan yang kukuh dari pelbagai pihak.
“Yana menerima segala nasihat dan kongsian dengan hati yang terbuka, terutamanya kepada kakak yang menjawab WhatsApp Yana lewat malam dan sentiasa memberi sokongan supaya Yana terus melangkah ke hadapan.
“Semua ini memberi motivasi dan tekad kepada Yana untuk terus bekerja dengan lebih keras dan komited. Yana bangga menjadi sebahagian daripada komuniti yang menghargai semangat perjuangan.
“Penyertaan anda dalam kempen telah mempersembahkan nilai-nilai kebersamaan dan komitmen untuk mencipta masa depan yang lebih baik untuk negara kita,” tulisnya.
Ingin main peranan untuk kembalikan sokongan
Menurut Yana, masih banyak perkara yang perlu dilakukan jika Puteri UMNO mahu memainkan peranan dalam mengembalikan semula sokongan dari anak-anak muda terhadap parti itu.
Oleh itu, tanggungjawab berkenaan perlu dijalankan dengan penuh komitmen dan ia bermula dari sekarang selain turut menyatakan dia tidak akan mengecewakan orang ramai dan sentiasa bersama parti tersebut.
“Tahniah juga Yana ucapkan kepada Along (Datuk Nurul Amal) dan Kak Leha yang menang jawatan Ketua Puteri UMNO dan Naib Ketua Puteri UMNO.
“Mari kita bekerja bersama untuk membina masa depan yang lebih baik untuk parti tersayang kita,” ucap Yana.