fbpx

Mahkamah Syariah Luluskan Tuntutan Fasakh Jahidah Nordin, Wanita Yang Koma Akibat Dipukul Suami

Adik Jahidah kini berasa lega dan akan memberi fokus terhadap kes jenayah bekas abang iparnya itu pula yang masih dalam perbicaraan di mahkamah.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Semalam (14 Mac), Mahkamah Rendah Syariah Seremban meluluskan permohonan tuntutan cerai fasakh daripada seorang wanita yang berada dalam keadaan koma.

Wanita yang dikenali sebagai Jahidah Nordin, 44, mula terlantar kaku sejak Mei 2021 setelah dia dicederakan oleh bekas suaminya.

Tuntutan fasakh dibuat berwakilkan adik Jahidah, Fauziah Nordin

Tuntutan Fasakh terhadap bekas suaminya, Rosmaini Abd Raof, 40, difailkan dengan berwakilkan adik Jahidah iaitu Fauziah Nordin.

Menurut Fauziah, dia bersyukur proses tuntutan fasakh kakaknya yang dibuat pada 1 Februari lalu dipermudahkan tanpa perlu menunggu lama.

“Saya sangat bersyukur sebab sudah lama tunggu supaya ada keputusan mengenai perkahwinan kakak ini. Saya memang tidak sangka akan dapat keputusan hari ini, rasa kurang sikit beban saya.

“Saya akan bincang dengan peguam untuk langkah seterusnya kerana ia perlu dilakukan satu persatu memandangkan saya perlu menjaga kakak dan juga anaknya,” katanya ketika ditemui Berita Harian di luar mahkamah, semalam.

Beliau turut berkongsi perkara sama menerusi satu hantaran di Facebook miliknya.

Beri fokus kepada perbicaraan kes jenayah lelaki terbabit terhadap kakaknya pula

Menurutnya lagi, dia kini berasa lega dan boleh memberi fokus terhadap kes jenayah yang melibatkan bekas abang iparnya itu dengan kakaknya yang masih dalam perbicaraan di mahkamah.

“Saya gembira dan tidak sabar untuk memaklumkan keputusan ini kepada keluarga. Untuk proses seterusnya (hak penjagaan dan tuntutan nafkah) saya akan bincang dengan peguam,” katanya.

Pada masa sama, Fauziah berharap lelaki terbabit menerima hukuman setimpal atas perbuatan kejam yang telah dilakukannya itu sehingga menyebabkan kehidupan kakaknya sekeluarga telah berubah.

Kes kejam wanita mengadung parah dibelasah suami

Terdahulu, negara dikejutkan dengan kes kejam seorang wanita hamil yang parah dipercayai dipukul oleh suaminya dalam kejadian pada 4 Mei 2021.

Wanita tersebut yang juga seorang penjawat awam di sebuah jabatan kerajaan berada di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban selepas menerima rawatan awal di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.

Wanita malang itu mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan tengkorak akibat pendarahan selain rahang, tulang belakang serta rusuk retak dipercayai akibat dipukul suaminya yang tidak bertanggungjawab.

Kejadian menyayat hati itu sekaligus menyebabkan orang ramai menyelar tindakan tidak berhati perut lelaki terbabit.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.