Bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman hari ini (18 Mac) meluahkan rasa kesalnya selepas dihalang masuk ke Mesyuarat Perwakilan UMNO di bahagian tersebut.
Kekecohan itu berlaku selepas Tajuddin yang juga bekas Ketua Bahagian tidak dibenarkan memasuki Dewan Besar Bandar Baru Felda Di Seberang Perak pada pagi tadi.
Sifatkan insiden tidak dibenarkan masuk sebagai ‘Sombong’
Difahamkan alasan beliau dihalang adalah kerana bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) itu kini sedang menjalani penggantungan dari parti tersebut.
Menurut laporan Awani, Tajuddin menyifatkan insiden yang berlaku itu ‘sombong’ serta ia tidak pernah terjadi sebelum ini.
“Saya sayang UMNO, saya setia. 50 tahun dalam UMNO.
“Sombong! Mantan KB (ketua bahagian) pun dihalang masuk. Tidak pernah berlaku, tiada alasan diberikan mereka,” dakwa Tajuddin.
Untuk makluman, anak sulung kepada Tajuddin iaitu Dr Faizal turut bertanding dalam pemilihan Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak melawan Khairul Azwan Harun yang merupakan bekas pemangku ketua di bahagian itu.
Terdahulu, anak perempuan Tajuddin, Datin Sri Rahayu membuat kejutan apabila menewaskan Ketua Wanita UMNO Perak, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin dalam pemilihan Ketua Wanita UMNO Bahagian Pasir Salak.