Kariah Tak Sempat Solat Tarawih, Masjid Di Titiwangsa Musnah Terbakar [Video]
Menurut Pengarah JBPM Kuala Lumpur, anggota bomba berjaya mengawal kebakaran kira-kira 10 minit kemudian dengan kemusnahan 90% di ruangan solat.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Kariah di sebuah masjid di ibu negara tidak sempat menunaikan solat tarawih pertama pada bulan Ramadan tahun ini apabila dewan solat utama masjid itu hangus dalam kebakaran malam semalam (22 Mac).
Kejadian yang berlaku di Masjid Ibnu Sina, Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur itu dipercayai akibat litar pintas.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Nordin Pauzi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran itu pada jam 7.10 malam.
3 jentera dan 21 anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian
Menurutnya, sejurus menerima panggilan, tiga jentera dan 21 anggota bomba telah dikerah ke lokasi kejadian.
“Tiga jentera dengan kekuatan 21 anggota dikejarkan ke tempat kejadian bagi memadamkan kebakaran.
“Pasukan bomba yang tiba di lokasi pada 7.17 malam melakukan kerja pemadaman di ruang masjid yang terjejas,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Kemusnahan 90% di ruangan solat
Menurutnya, anggota bomba berjaya mengawal kebakaran kira-kira 10 minit kemudian dengan kemusnahan 90% di ruangan solat.
“Kebakaran tidak membabitkan sebarang mangsa. Punca dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya.
Pengarah Jawi mengesahkan kejadian kebakaran itu
Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) Datuk Mohd Ajib Ismail ketika dihubungi Harian Metro telah mengesahkan kejadian.
“Kejadian berlaku pada 6.58 petang disebabkan litar pintas. Tiada kemalangan jiwa, dewan solat utama musnah terbakar,” ujar Mohd Ajib.
Punca kejadian disebabkan panahan petir yang kuat
Namun menurut akaun Facebook rasmi Masjid Ibnu Sina sebentar tadi, maklumat dari forensik Bomba mengatakan kejadian berpunca dari panahan petir yang kuat di atas bumbung masjid.
Selain itu, pihak bomba juga telah memberi kebenaran kepada mereka untuk solat di kawasan terbuka masjid.
“Pihak masjid bersetuju untuk menghentikan segala aktiviti masjid setakat ini.Sementara ini jemaah dan anak kariah boleh memilih masjid yang berdekatan untuk menjalankan aktiviti ramadhan.Pihak masjid juga sedaya upaya menyediakan tempat solat yang selesa untuk jemaah dalam masa secepat mungkin.Segala makluman akan diberitahu.”