fbpx
Now Reading
Gadis 14 Tahun Di Kelantan Jadi Individu Paling Muda Bayar Zakat RM10,000

Gadis 14 Tahun Di Kelantan Jadi Individu Paling Muda Bayar Zakat RM10,000

Menurut gadis itu, dia lega dan bersyukur kerana dapat menjadi salah seorang pembayar zakat dan berharap sumbangan itu dapat membantu golongan yang memerlukan.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Umum mengetahui, mengeluarkan zakat merupakan salah satu daripada 5 rukun Islam yang ada.

Manakala dari segi syarak pula, zakat adalah mengeluarkan harta tertentu dengan kadar tertentu mengikut syarat-syarat tertentu untuk diagihkan kepada golongan tertentu.

Pelajar tingkatan 2 bayar zakat perniagaan RM10,000

Pun begitu, siapa sangka seorang pelajar tingkatan dua ini menjadi individu termuda membayar zakat perniagaan bagi tahun lalu berjumlah RM10,000 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik).

Gadis berusia 14 tahun yang dikenali sebagai Putri Mumtaz Sunnafis Luthfiya Mustamaman itu hadir untuk menyerahkan zakat perniagaan kepada Ketua Pegawai Zakat Maik, Ameer Azeezy Tuan Abdullah pada Khamis lalu (23 Mac).

Tampil bayar zakat selepas jualan BebyCurve capai RM400,000 dalam tempoh 4 bulan

Putri Mumtaz yang juga pengasas produk makanan BebyCurve itu tampil menunaikan tanggungjawabnya selepas produk yang diusahakannya itu mencapai jualan sebanyak RM400,000 dalam tempoh empat bulan sejak September tahun lalu.

“Saya mula berniaga menerusi aplikasi TikTok dan agak terkejut apabila mendapat sambutan luar biasa daripada pelanggan. Susulan itu, saya mula mengambil ejen untuk meluaskan lagi penjualan produk saya.

“Susulan sambutan yang menggalakkan, ibu Bibi Hasnalinda Zainal Abidin, 46, dan ayah, Mustaman Che Yusof, 60, menasihati saya supaya mengeluarkan zakat perniagaan kepada Maik,” katanya ketika dihubungi Harian Metro semalam (26 Mac).

Berharap sumbangannya dapat membantu golongan memerlukan

Jelasnya, dia lega dan bersyukur kerana dapat menjadi salah seorang pembayar zakat dan berharap sumbangan itu dapat membantu golongan yang memerlukan.

“Ini juga ajaran nenek sebab nenek selalu berpesan apa-apa mesti dahulukan zakat. Saya juga berharap bisnes BebyCurve ini semakin maju,” katanya lagi.

Sementara itu, ibunya turut terharu dengan usaha yang dilakukannya oleh anak perempuannya untuk tampil membayar zakat walaupun di usia yang masih muda.

Menurutnya, dia berharap tindakan itu dapat dijadikan contoh kepada usahawan dan ahli perniagaan lain untuk sama-sama menjalankan tanggungjawabmembayar zakat.

“Saya sentiasa berpesan kepada anak bahawa apa yang kita lakukan, jangan kita lupakan Allah,” ujar Bibi Hasnalinda.

Zakat merupakan Fardhu Ain

Untuk info, zakat adalah Fardhu Ain ke atas setiap orang Islam yang memenuhi segala syarat-syarat wajib.

Menurut lawan web Zakat Selangor, antara hikmah dan tujuan Allah S.W.T mensyariatkan zakat ialah:

  • Mengagihkan sebahagian kecil kekayaan daripada golongan yang berada kepada golongan yang kurang berada.
  • Membersihkan diri pembayar zakat.
  • Membersihkan dan menyuburkan harta pembayar zakat.
  • Mewujudkan sifat bersyukur terhadap nikmat yang dikurniakan oleh Allah S.W.T di kalangan golongan yang berada.
  • Mengurangkan perasaan iri hati di kalangan yang kurang bernasib baik.
  • Mewujudkan perhubungan antara hamba dengan Allah S.W.T di samping perhubungan antara manusia dengan manusia.
  • Memberi peluang kepada golongan hartawan untuk beribadat dalam bentuk mengeluarkan zakat daripada harta mereka.
  • Mewujudkan kesatuan di kalangan masyarakat Islam dalam urusan ekonomi dan kewangan.
  • Memberi masyarakat satu cara mengurus ekonomi dan kewangan yang diredhai Allah S.W.T.
  • Melahirkan rasa tenang dan tenteram dalam hati dan jiwa pembayar zakat.
View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.