fbpx
Now Reading
Lelaki Mabuk Serang Peniaga Burger Jadi Punca Pergaduhan Tular Di Semenyih [Video]

Lelaki Mabuk Serang Peniaga Burger Jadi Punca Pergaduhan Tular Di Semenyih [Video]

Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, kes tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Baru-baru ini, tular di media sosial mengenai satu insiden rusuhan yang berlaku di sebuah tempat awam di Kajang oleh sekumpulan individu.

Susulan itu, polis telah menahan empat lelaki tempatan termasuk seorang individu mabuk iaitu di bawah pengaruh alkohol.

Insiden tercetus apabila lelaki mabuk serang peniaga burger

Difahamkan, insiden mula tercetus apabila lelaki mabuk terbabit menyerang seorang peniaga burger di hadapan sebuah restoran di Seksyen 5 Bandar Rinching, Semenyih, Kajang pada Khamis lalu (23 Mac).

lelaki mabuk terbabit dipercayai mengeluarkan kata-kata kesat dan membaling tin arak ke arah kedai burger berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan MERS 999 dari orang awam pada 9.55 malam mengenai satu kejadian rusuhan.

Menurutnya, pemanggil memaklumkan kejadian tersebut berlaku di hadapan salah sebuah restoran di Semenyih dan kemudian polis mengarahkan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Balai Polis Semenyih ke lokasi itu.

“Hasil maklumat dan siasatan pihak polis, kejadian berpunca daripada seorang lelaki tempatan yang dalam keadaan mabuk telah datang ke sebuah gerai menjual burger sambil bercakap dengan perkataan kesat.

“Seterusnya, lelaki itu turut membaling tin minuman keras ke arah gerai tersebut sehingga berlaku perselisihan faham dengan seorang lelaki tempatan yang juga peniaga gerai tersebut.

“Kejadian menjadi lebih tegang apabila lelaki yang mabuk itu keluarkan senjata pisau serta parang dan cuba menyerang peniaga gerai terbabit,” katanya dalam satu kenyataan semalam (26 Mac).

Berlaku rusuhan yang melibatkan campur tangan orang awam untuk meleraikan

Jelasnya lagi, kejadian itu menyebabkan berlaku rusuhan yang melibatkan campur tangan beberapa orang awam untuk meleraikan kejadian tersebut.

Pihak polis yang bertindak dengan pantas telah menahan empat lelaki warga tempatan yang berusia 28 hingga 41 tahun bagi membantu siasatan.

“Keempat-empat yang ditangkap telah dibenarkan ditahan reman selama empat hari sehingga esok untuk siasatan lanjut.

“Dalam kejadian ini pihak polis telah merampas sebilah parang, satu pisau boleh laras dan satu topeng kain muka suspek yang ditangkap semasa kejadian,” katanya lagi.

Berkongsi lanjut, Zaid berkata tiada kecederaan serius dalam kejadian itu dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Tular di media sosial video kekecohan beramai-ramai di hadapan sebuah gerai

Terdahulu, tular di media sosial satu insiden kekecohan beramai-ramai berlaku di tempat awam berhadapan sebuah gerai makanan.

Menerusi perkongsian video yang dimuat naik di laman Twitter @jnmalaysia, kelihatan seorang individu menyerang seorang lelaki dengan menggunakan parang sebelum orang awam yang berada di tempat kejadian turut terlibat untuk meleraikan rusuhan.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.