Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa orang Melayu menjadi miskin selepas beliau tidak lagi menyandang jawatan tertinggi kerajaan itu.
“Memang pun, orang Melayu menjadi begitu miskin selepas saya tidak lagi jadi Perdana Menteri,” katanya.
Tun M berusaha pulihkan keadaan orang Melayu semasa jadi PM selepas PRU14
Menerusi bebenang di laman Twitter miliknya, Mahathir berkata beliau telah berusaha memulihkan keadaan orang Melayu semasa menjadi Perdana Menteri semula selepas Pilihan Raya Umum ke-14.
“Tetapi kerajaan Pakatan Harapan (PH) dijatuhkan dan saya pun hilang jawatan. Sebab itu saya mengeluh sekarang.
“Saya menyertai usaha untuk menyedar orang Melayu akan masalah mereka dengan pelancaran proklamasi Melayu.
“Isi kandungan proklamasi berkenaan menepati peruntukan dalam Perlembagaan Malaysia dan Perlembagaan UMNO,” katanya lagi.
Pada 19 Mac lalu, Mahathir mendakwa perhimpuan Proklamasi Orang Melayu tidak dapat dijalankankan kerana campur tangan kerajaan.
Tun M dakwa Kerajaan Perpaduan takut untuk dengar suara orang Melayu
Bekas Ahli Parlimen Langkawi itu juga turut mendakwa Kerajaan Perpaduan takut untuk mendengar suara orang Melayu.
Namun beliau tidak memperincikan dakwaannya atau memberikan sebarang bukti wujudnya campur tangan kerajaan mengenai hal tersebut.
Pada masa yang sama, Mahathir turut mendakwa tindakan menghalang pelancaran proklamasi tersebut bermakna Kerajaan Perpaduan menolak Perlembangan dan Perlembangaan UMNO.
“UMNO tidak bantah. UMNO tidak lagi pegang kepada matlamat penubuhannya. Sebab itu puak lain perlu diadakan untuk melindungi hak orang Melayu dan bumiputera lain.”